BM | EN | 中文

Aktiviti Banci 2020 diteruskan dengan pematuhan SOP

Aktiviti-lapangan-Banci-2020-diteruskan-dengan-pematuhan-SOP.png
Advertisement

PUTRAJAYA, 9 OKT: Aktiviti di lapangan berkaitan Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020 (Banci 2020) dan survei rutin Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) tetap dilaksanakan dengan pematuhan kepada prosedur operasi standard (SOP) berikutan peningkatan penularan COVID-19 di negara ini.

Ketua Perangkawan Malaysia Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata pelaksanaan aktiviti di lapangan diteruskan melibatkan edaran poskad ID e-Census, aktiviti bersama komuniti dan penganjuran klinik e-Census di lokasi terpilih.

Mohd Uzir yang juga Pesuruhjaya Banci 2020 berkata kenyataan yang tular dalam media sosial dan aplikasi WhatsApp kononnya tidak lagi dibenarkan aktiviti banci secara bersemuka dari rumah ke rumah oleh kerajaan, penyelia serta pembanci sehingga hujung tahun ini, adalah palsu.

Advertisement

Beliau berkata DOSM juga telah mengambil tindakan penyesuaian semula pelaksanaan Banci 2020, antaranya bagi Fasa Kedua iaitu secara bersemuka yang dirancang pada 7 hingga 24 Oktober, telah dijadualkan semula kepada 20 Jan hingga 6 Feb 2021.

Dengan penjadualan semula tersebut, Banci 2020 Fasa Pertama secara dalam talian iaitu e-Census telah dilanjutkan sehingga 21 Dis ini, yang melibatkan prapendaftaran bagi pengisian e-Census dibuka semula bermula 7 Okt hingga 30 Nov, katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Uzir menyeru orang awam agar memberi kerjasama menjayakan Banci 2020 dan survei yang dilaksanakan di samping mengambil langkah berjaga-jaga bersesuaian dengan situasi semasa.

Advertisement

“Ini termasuk memanfaatkan Banci Dalam Talian (e-Census), penggunaan e-survei dan temu ramah melalui telefon atau Computer Assisted Telephone Interview (CATI),” katanya.

Keberhasilan daripada Banci 2020 dan perkhidmatan perangkaan itu merupakan ‘statistical evidence’ yang digunakan oleh kerajaan dalam membuat keputusan berasaskan bukti bagi pembentukan, pelaksanaan, penilaian dan semakan semula dasar awam negara dalam memastikan tiada yang ketinggalan, katanya.

Bernama

Advertisement

 

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top