BM | EN | 中文

Aktiviti agama di masjid, surau di Johor dibenar mulai Jumaat ini – Exco

masjid-sultan-abu-bakar-johor.jpg

Gambar Ehsan FB Masjid Sultan Abu Bakar Johor Bahru

JOHOR BAHRU, 10 SEPT: Kerajaan negeri Johor membenarkan semua perhimpunan untuk tujuan aktiviti keagamaan di semua masjid dan surau di negeri itu bermula Jumaat ini, demikian menurut Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Tosrin Jarvanthi.

Katanya, kebenaran itu diperkenan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar sebagai Ketua Agama Islam negeri mengikut peruntukan Fasal 57(A) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Johor 1895 dan Seksyen 6 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Johor) 2003.

Exco Hal Ehwal Agama Islam Johor, Tosrin Jarvanthi (Gambar Ehsan Bernama)

Beliau berkata tiada jumlah jemaah yang dihadkan dalam sebarang aktiviti keagamaan itu, namun perlu mengikut keluasan masjid dan surau serta mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

“Sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), aktiviti seperti program membudayakan al-Quran dan As-Sunnah dibenarkan tidak melebihi 30 minit selepas solat.

“Selain itu, program bacaan Yassin dan tahlil dalam tempoh selepas solat Maghrib sehingga Isyak dibenarkan mengikut had waktu dibenarkan,” katanya pada sidang media di Pusat Islam Iskandar, di sini, semalam.

Turut hadir, Penasihat Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) Datuk Noh Gadot dan Pengarah Jabatan Agama Islam Johor (JAIJ) Datuk Md Rofiki A Shamsudin.

Tosrin berkata program dakwah seperti kursus jenazah, haji dan umrah, kursus praperkahwinan, kelas pengajian al-Quran dan program hari kebesaran Islam seperti Maulidur Rasul juga boleh dilaksanakan.

“Justeru, semua pihak yang terlibat dengan pengurusan masjid dan surau serta umat Islam di negeri ini perlu mematuhi arahan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Tosrin berkata kerajaan negeri akan menganjurkan Hari Terbuka Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor pada Sabtu ini, mulai jam 9 pagi hingga 5 petang, di Dewan Raya, Bandar Putra, Kulai.

Beliau berkata hari terbuka itu bertujuan bagi memudahkan orang ramai mengenali dan mendapatkan maklumat berhubung perkhidmatan jabatan serta agensi di bawah portfolio Hal Ehwal Agama Islam.

Bernama

 

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top