BM | EN | 中文

Akibat rasuah RM300, pemborong di Johor didenda RM10,000, penjara sehari

Pemborong-didenda-RM10000-penjara-sehari-kerana-rasuah-RM300.png
Advertisement

JOHOR BAHRU, 11 APR: Seorang pemborong kelapa sawit didenda RM10,000 dan dipenjara sehari kerana merasuah seorang penguat kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT) sebanyak RM300, tahun lalu.

Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail memerintahkan keputusan itu selepas tertuduh, Lee Chee Heng, 42, mengaku bersalah atas pertuduhan berkenaan.

Mengikut pertuduhan, Chee Heng didakwa memberi suapan wang tunai sebanyak RM300 kepada seorang Pembantu Penguat kuasa Majlis Perbandaran Kluang (MPK) supaya tindakan undang-undang kerana menjalankan kerja tanah yang menyebabkan kekotoran, tidak diambil ke atasnya.

Advertisement

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Kampung Paya Dalam Palembang, Kluang, pada 15 Oktober 2020.

Berita Harian melaporkan prosiding berlainan di mahkamah sama, seorang pengusaha rumah inap didakwa kerana merasuah seorang penguat kuasa sebanyak RM3,000 bagi membatalkan kompaun PBT, tahun lalu.

Tertuduh, Wong Xin Wei, 30, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.

Advertisement

Xin Wei didakwa memberi suapan wang tunai RM3,000 kepada seorang Pembantu Penguat kuasa MPK, supaya membatalkan kompaun bagi kesalahan mempamer iklan tanpa lesen MPK.

Selain itu, suapan berkenaan juga bagi membatalkan satu lagi kompaun bagi kesalahan menjadikan tanah pertanian sebagai premis rumah inap.

Kesalahannya itu dilakukan di Pejabat Penguatkuasaan dan Keselamatan MPK, kira-kira jam 3.30 petang pada 13 Julai tahun lalu.

Advertisement

Hakim memerintahkan Xin Wei dijamin sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin.

Tertuduh juga diarahkan menyerahkan pasport ke mahkamah selain perlu melaporkan diri pada setiap bulan di pejabat SPRM Kluang sehingga kesnya selesai.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 26 April ini.

Advertisement

Chee Heng dan Xin Wei masing-masing didakwa mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009, yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mana-mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan

Kes Chee Heng dan Xin Wei dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM, Yunus Mohamed.

Chee Heng diwakili peguam Im Pang Kiat, manakala tertuduh Xin Wei diwakili peguam, T Vijaya Sundram dan V Kirthana Darshayinie.

Advertisement

Johorkini

 

Advertisement

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top