BM | EN | 中文

Akibat gagal memotong ikut kiri, wanita maut dekat jalan Johor Bahru-Mersing

Hussin.jpg

KOTA TINGGI – Cubaan seorang wanita untuk memotong sebuah kereta gagal apabila terbabas dan melanggar sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di Kilometer 80, Jalan Johor Bahru-Mersing, dekat sini semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superitendan Hussin Zamora berkata, dalam kejadian pada pukul 11.50 pagi, Yap Hui Poh, 25, yang memandu kereta Perodua Myvi sedang dalam perjalanan menghala ke Johor Bahru.

Semasa tiba di tempat kejadian di Kilometer 45.5 Jalan Johor Bahru-Mersing, mangsa dipercayai memotong sebuah kereta melalui bahagian kiri lorong jalan dan telah hilang kawalan.

“Kereta mangsa terbabas ke jalan bertentangan dan dilanggar Toyota Wish di bahagian hadapan kiri kenderaan Perodua Myvi,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Hussin dilaporkan Johor Times sebagai berkata, selain wanita itu, pemandu MPV Toyota Wish, Muhammad Faizal Mustakim, 41, serta tujuh penumpangnya iaitu Mustakim Darus, 73, dan Siti Balkessah Mokhtar, 40, cedera.

Turut tercedera Harraz Muhammad Faizal, 7, Nur Hilman Harith Muhammad Faizal, 7, Nur Aina Khalishah Muhammad Faizal, 12, Aliyah Sufrina Mohd Reza, 7, dan Muhammad Adam Malik Edy, 5.

Semua mangsa dihantar ke Hospital Kota Tinggi untuk rawatan lanjut, kes disiasat di bawah Seksyen Sek 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Siasatan lanjut masih lagi diteruskan bagi memastikan punca kejadian sebenar. Orang awam dinasihati supaya lebih peka dan mematuhi peraturan lalu lintas bagi memastikan keselamatan bersama,” katanya. – JT

Johorkini

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top