BM | EN | 中文

AHLI PARLIMEN TEBRAU HARAP PENDUDUK TAMAN SINARAN KEMPAS DIBERI PEMBELAAN

IMG-20191207-WA0034.jpg
Advertisement

JOHOR BAHRU, 7 DIS : Penduduk di Taman Sinaran Kempas, di sini masih tidak menerima sebarang perkembangan positif berkenaan penempatan kekal mereka, meskipun telah menunggu kira-kira 22 tahun.

Ahli Parlimen Tebrau, Steven Choong Shiau Yoon berkata, malah kehidupan penduduk di kawasan itu, kini semakin sukar apabila terus dihimpit permasalahan termasuk isu kemudahan awam dan fasiliti.

Katanya, antara masalah yang seringkali diajukan penduduk kepada beliau adalah penduduk kini tidak lagi menerima perkhidmatan kutipan sampah dari rumah ke rumah selain tiada perkhidmatan potongan rumput dan membersihkan longkang-longkang yang tersumbat.

Advertisement

“Saya juga dimaklumkan, proses penyelenggaraan loji kumbahan bagi kawasan itu juga tidak dilakukan meskipun sudah lama fasiliti berkenaan tidak berfungsi.

“Penduduk juga memberitahu, setelah lebih 20 tahun mendiami kawasan itu tanpa sebarang perkembangan baharu mengenai penempatan yang kekal mereka juga tidak menerima geran tanah bagi kawasan itu kerana dimaklumkan tiada geran berasingan.

“Paling merisaukan, saya juga dimaklumkan perumahan sementara yang diberikan kepada penduduk ini juga tidak mempunyai Sijil Pematuhan Kod (CCC) kerana ia berstatus sementara. Sudah tentu perkara ini amat penting kerana ia berkaitan dengan isu keselamatan rakyat,” katanya kepada JohorKini.

Advertisement

Justeru, bagi mendapatkan pencerahan mengenai perkara ini, Steven ketika sesi Kamar Khas Dewan Rakyat pada bulan lepas telah mengajukan beberapa soalan kepada kementerian berkaitan.

“Soalan-soalannya berkaitan adakah KTMB mempunyai perancangan untuk menyelesaikan masalah-masalah yang sedang dihadapi penduduk di kawasan itu dan apakah usaha kerajaan untuk menyelesaikan kesukaran penduduk serta menyediakan kawasan rumah selesa dan paling penting kekal.

“Bagi pertanyaan itu, saya kemudiannya dijelaskan bahawa Taman Sinaran Kempas yang berkeluasan kira-kira 20 ekar kini merupakan tanah hak milik Perbadanan Aset Keretapi (RAC) setelah berkuatkuasanya Akta Keretapi 1991,” katanya.

Advertisement

Beliau berkata, taman tersebut telah siap sepenuhnya pada 30 Jun 1998 dengan tempoh tanggungan kecacatan (Defect Liabilities Period) di bawah Pretech Sdn Bhd iaitu kontraktor yang dilantik  membina penempatan itu.

“Tempoh itu kemudiannya telah berakhir pada 31 Disember 1999.

“Selepas itu, cadangannya adalah mahu memberikan pentadbiran Taman Sinaran Kempas kepada Kerajaan Johor menerusi Majlis Bandaraya Johor Bahru.

Advertisement

“Bagaimanapun, perkara itu berubah setelah penubuhan jawatankuasa penduduk yang mana berfungsi untuk kerja-kerja pentadbiran dan penyelenggaraan,” katanya.

Ujarnya lagi, pertimbangan oleh Pihak Berkuasa Tempatan juga dipohon bagi pelaksanaan kerja-kerja penyelenggaraan, pembersihan dan kutipan sampah bagi penduduk Taman Sinaran Kempas.

“Kementerian Pengangkutan juga mahu Kerajaan Johor memikirkan perkara ini atas dasar kebajikan dan keselesaan rakyat di kawasan itu.

Advertisement

“Akhir sekali, perkara yang dibangkitkan penduduk taman itu juga diharap dapat diselesaikan dengan cara muafakat oleh Kerajaan Johor bersama pihak Kementerian Pengangkutan bagi memastikan kepentingan semua pihak dapat dipelihara.

“Saya juga difahamkan Kementerian Pengangkutan akan mengadakan perbincangan bersama Kerajaan Johor berhubung perkara ini sekali gus berusaha mendapatkan jalan penyelesaian terbaik,” katanya lagi.

Terdahulu, taman berkenaan yang berada dalam Parlimen Tebrau ini sebenarnya merupakan kawasan perumahan sementara kepada penempatan setinggan yang sebelum ini wujud sekitar landasan keretapi Stesen Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) Kempas.

Advertisement

Mereka ini telah diarahkan pindah ke perumahan tersebut yang mana ketika itu dijanjikan kerajaan hanya sementara bagi menunggu kawasan perumahan kekal yang akan disediakan.

JohorKini

Advertisement

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

scroll to top