JOHOR BAHRU, 21 SEPT : “Arwah langsung tidak menunjukkan sebarang perubahan,” cerita Mohammad Najib Daud, sepupu kepada Datuk Wira Mohamed Farid Md Rafik.
Mohamed Farid, 43 yang merupakan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri merangkap Ahli Parlimen Tanjung Piai meninggal dunia akibat dipercayai serangan jantung, kira-kira jam 6 pagi tadi.
Menurut Mohammad Najib, 33, kali terakhir beliau bertemu saudara terdekatnya itu di rumah Allahyarham di Putrajaya awal bulan ini.
“Ketika itu, saya menumpang tidur di rumahnya kerana perlu menghadiri mesyuarat di sana.
“Walaupun sibuk dengan tugasan rasmi, Arwah sempat meluangkan masa bersama saya.
“Kami makan bersama dan berbual seperti biasa. Namun, langsung tiada sebarang perubahan ditunjukkannya dan berita pemergiannya benar-benar mengejutkan kami sekeluarga,” katanya.
Tambah Pegawai Khas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor itu, Allahyarham tidak menghidap sebarang penyakit yang serius.
“Arwah merupakan doktor pakar dan sememangnya menjaga kesihatannya. Setahu saya, arwah ada menjalankan ‘medical checkup’ (pemeriksaan kesihatan) setahun dua kali.
“Dia (arwah) tidak sakit. Saya yang ada sakit darah tinggi. Saya selalu mendapatkan khidmat nasihat berkaitan tahap kesihatannya,” katanya.
Beliau menyifatkan Allahyarham sebagai seorang yang sangat lembut, namun tegas dalam membuat sebarang keputusan.
“Tutur kata arwah sentiasa lembut sahaja dan tidak pernah berkasar. Tetapi, arwah begitu tegas sekiranya satu-satu keputusan itu telah diambil.
“Saya sendiri tidak menyangka arwah pergi secepat ini kerana kami memang rapat sejak dari kecil.
“Arwah merupakan cucu sulung dalam keluarga kami. Malah, menjadi idola kepada kami kerana pencapaiannya yang berjaya melanjutkan pelajaran ke luar negara selain bergelar doktor pakar dan menjadi wakil rakyat,” katanya.
Difahamkan Allahyarham meninggalkan seorang isteri, Datin Wira Farah Syazwan Hanis Ismail serta tiga orang anak perempuan berusia dua, empat dan sembilan tahun.
Johorkini