JOHOR BAHRU, 5 OGOS: Ahli parlimen Pulai, Datuk Seri Salahuddin Ayub menyampaikan ucapan takziah kepada rakyat Lubnan berikutan insiden letupan besar yang menggegarkan Beirut, Lubnan.
Salahuddin yang juga Pengerusi Biro Aantarabangsa Parti Amanah Negara berkata, tragedi itu amat menyedihkan kerana menyebabkan kehilangan nyawa dan kemusnahan harta benda.
“Hari ini dunia dikejutkan dengan letupan gudang simpanan ammonium nitrate di Beirut, Lubnan.
“Ia satu tragedi yang amat menyedihkan apabila lebih daripada 70 mangsa terkorban, ribuan cedera dan ratusan bangunan musnah.
“Bagi pihak Parti Amanah Negara (Amanah), kami mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa, rakyat dan kerajaan Lubnan. Semoga anda semua diberi kekuatan berhadapan dengan ujian ini dan mangsa-mangsa yang cedera akan segera sembuh.
“Kami juga mengucapkan setinggi penghargaan kepada negara-negara yang telah menghulurkan tangan untuk membantu Lubnan termasuk kerajaan Turki, Qatar dan lain lain negara. Semoga kejadian seumpama ini tidak akan berulang di masa hadapan,” katanya dalam kenyataan.
Dalam dua letupan yang menggegarkan bandar Beirut malam tadi, menyebabkan sekurang-kurangnya 73 orang terbunuh dan 3,000 yang lain cedera.
Kementerian Luar Malaysia memaklumkan semua rakyat Malaysia di Lubnan dilaporkan selamat, selepas disahkan oleh Kedutaan Besar Malaysia di Beirut.
Johorkini