PASIR GUDANG, 27 DIS: Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) turut menyuarakan tidak bersetuju dengan langkah kerajaan yang mahu menghentikan Bayaran Insentif Perkhidmatan Kritikal (BIPK) atau elaun kritikal kepada petugas kesihatan.
Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, pemberhentian elaun itu adalah tidak adil kerana petugas lama masih menerima elaun berkenaan.
“Kerajaan perlu kaji semula keputusan pemberhentian elaun kritikal ini. Jangan main-main dalam soal ini kerana ia melibatkan perkhidmatan kesihatan awam negara.
“Jika kerajaan dahulu ada elaun ini tapi kerajaan sekarang tiada, kesannya kerajaan Pakatan Harapan (PH) akan kelihatan buruk.
“Kabinet dan menteri terbabit perlu bertanggungjawab kerana Ahli Parlimen telah berusaha memenangi kepercayaan rakyat tetapi perkara seperti ini pula yang berlaku,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada wartawan semasa ditemui pada program Jom Kembali Ke Sekolah anjuran Pejabat Parlimen Pasir Gudang, di sini hari ini.
Jumaat lalu, Jabatan Perkhidmatan Awam mengumumkan bakal memansuhkan BIPK mulai Januari 2020 bagi penjawat awam 33 Skim Perkhidmatan Kritikal yang baru dilantik termasuk doktor, jururawat dan ahli farmasi.
Tambah Hassan, sekiranya tindakan kerajaan berbuat demikian adalah untuk mengurangkan perbelanjaan, penjimatan boleh dibuat menerusi cara lain.
“Saya sudah semak, jumlah setahun yang dapat dijimatkan kerajaan menerusi langkah ini hanyalah RM15 juta. Itu bukan satu jumlah yang terlalu besar.
“Kerajaan boleh mengambil langkah lain untuk berjimat, antaranya hentikan projek kereta nasional ketiga, bukan hentikan elaun.
Beliau turut memberitahu, akan membangkitkan isu ini ke peringkat tertinggi untuk memastikan hak petugas kesihatan di negara ini terbela.
JohorKini