KULAI, 23 JUN: Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching dan Ahli Parlimen Kluang, Wong Shu Qi berharap kerajaan memberikan penjelasan berhubung penutupan tiga Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di tiga daerah di Johor.
Menurut mereka dalam satu kenyataan, tiga PPV yang ditutup sementara itu adalah PPV Pekan Nanas (daerah Pontian), PPV Simpang Renggam (daerah Kluang) dan PPV Parit Raja (daerah Batu Pahat).
“Baru-baru ini, tiga Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di tiga daerah telah ditutup sementara. Pada masa yang sama, ada PPV yang hanya memberi suntikan dos kedua dan minta orang awam menjadual semula temujanji dos pertama mereka.
“Kami juga dimaklumkan bahawa jumlah vaksin yang diberi setiap hari telah turun secara mendadak di daerah-daerah tersebut, termasuk daerah Kulai.
“Keadaan ini jelas menunjukkan bahawa stok vaksin tidak mencukupi di negeri Johor,” katanya.
Tambahnya, pemberian dos vaksin di Johor pernah mencatat 20,529 dos, 20,541 dos dan 20,456 dos pada 14, 15 dan 17 Jun, tetapi telah menurun ke 13,718 dos, 16,738 dos dan 17,268 dos pada 20, 21 dan 22 Jun.
“Kami juga terima makluman bahawa ada golongan anak muda di kawasan menteri tertentu telahpun terima temujanji manakala warga emas di kawasan lain masih menunggu notis temujanji.
“Malah, khabar angin tular dalam media sosial berkenaan cara tidak beratur untuk mendapat temujanji vaksin juga menghakis keyakinan rakyat terhadap pengurusan PICK.
“Kita tidak akan menang sekiranya rakyat hilang keyakinan terhadap program imunisasi. Justeru, menteri-menteri mesti meletakkan ketelusan sebagai keutamaan dalam pengurusan vaksin.
“Jumlah pemberian vaksin di semua daerah perlu dikemaskini di laman web Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) setiap hari. Ketelusan adalah faktor utama untuk menjaminkan kejayaan PICK,” katanya lagi.
Johorkini