BM | EN | 中文

Ahli parlimen PH namakan Anwar sebagai calon PM

5632dd64beaa40b1a363612f271a78db_18.jpg

Anwar dinamakan sebagai calon PM daripada PH

KUALA LUMPUR, 26 FEB: Ahli-ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) daripada parti PKR, DAP dan Amanah telah mencalonkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri (PM) bagi kerajaan PH.

Dalam kenyataan yang dibacakan Presiden PKR, Anwar berkata, PH berusaha untuk mempertahankan mandat rakyat Malaysia pada 9 Mei 2018 sejak percubaan untuk menumbangkan kerajaan hujung minggu lalu.

Beliau menjelaskan, kerajaan terbentuk sebagai sebuah gabungan yang diikat dengan Muafakat PH yang dicapai pada 7 Januari 2018 diikuti pelancaran Buku Harapan (Manifesto) PH pada 8 Mac 2018.

“Di atas asas inilah PH dibentuk, diberi mandat oleh rakyat dan menjalankan amanah sebagai kerajaan. PH tidak bersetuju dengan sebarang usaha untuk menubuhkan kerajaan secara pintu belakang.

“Ekoran cubaan menubuhkan kerajaan secara pintu belakang Tun Dr Mahathir telah meletak jawatan sebagai PM. Keputusan Bersatu keluar dari PH pada Isnin lalu disusuli peletakan jawatan Tun sebagai Pengerusi Bersatu.

“Sehubungan itu, Majlis Presiden Pakatan Harapan telah menjemput Tun Dr Mahathir untuk mempengerusikan mesyuarat itu bagi memulihkan kerajaan PH, namun Tun Dr Mahathir tidak bersetuju untuk hadir dalam mesyuarat tersebut pada hari petang Selasa, 25 Februari,” katanya.

Justeru itu katanya, keputusan Majlis Presiden semalam telah menetapkan bahawa calon PM PH adalah dirinya.

“PH kekal komited terhadap aspirasi dan amanat rakyat untuk membawa negara ke arah yang lebih baik dari segenap sudut ekonomi, politik dan sosial.

“Kami tidak akan mengkhianati amanah ini,” katanya lagi.

Terdahulu hari ini, 131 Ahli Parlimen dipanggil menghadap Yang di-Pertuan Agong untuk menyatakan pendirian menyokong pihak tertentu bagi membentuk kerajaan baharu susulan peletakan jawatan Tun Dr Mahathir  sebagai PM, Isnin lepas.

Manakala, semalam, seramai 90 ahli Parlimen sudah dipanggil menghadap Yang di-Pertuan Agong untuk menyertai sesi temuduga berkenaan.

JohorKini

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top