KUALA LUMPUR, 25 NOV: Ahli parlimen Kulai, Teo Nie Ching menggesa agar lebih ramai ahli parlimen dibenarkan untuk menyertai Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen.
Beliau pada sidang media di lobi Parlimen hari ini berkata, sepucuk surat telah dihantar kepada Speaker Dewan Rakyat semalam berkenaan perkara tersebut.
“Ini adalah kerana backbencher yang menyokong kerajaan setakat ini kononnya adalah seramai 48 orang.
Manakala (backbencher) ahli Parlimen pembangkang adalah seramai 109 orang.
“Jadi ini menunjukkan bahawa sebenarnya kita (pembangkang) mempunyai lebih ramai backbencher, justeru adalah wajar untuk menambah wakil pembangkang dalam jawatankuasa pilihan khas.
“Pada pandangan saya, dua orang (wakil pembangkang dalam jawatankuasa pilihan khas) adalah amat tidak adil,” katanya pada sidang media di Parlimen, hari ini.
Nie Ching dilaporkan Roketkini sebagai berkata, anggota jawatankuasa pilihan khas itu perlu ditambah sekurang-kurangnya sembilan orang atau lebih berbanding tujuh yang dihadkan ketika ini.
Katanya lagi, ketetapan yang membenarkan hanya dua wakil pembangkang untuk menyertai jawatankuasa tersebut adalah tidak adil.
Beliau turut memberi contoh Parlimen di negara lain seperti United Kingdom yang mempunyai sekurangnya-kurannya 11 anggota jawatankuasa pilihan khas.
“Selain daripada itu, jawatankuasa pilihan khas di New Zealand boleh melantik maksimum 12 orang.
“Jadi ini menunjukkan bahawa tiada masalah untuk kita tambah lagi anggota jawatankuasa pilihan khas.
“Kalau kita boleh tambah anggota jawatankuasa pilihan khas sekurang-kurangnya sembilan orang, kita sekaligus boleh menambah tiga ke empat lagi wakil pembangkang dalam jawatankuasa tersebut,” ujarnya.
Katanya penambahan jumlah anggota jawatankuasa pilihan khas juga membolehkan lebih ramai ahli Parlimen untuk mengutarakan pandangan atau cadangan mereka berkaitan isu rakyat seperti pendidikan.
Beliau yang juga Setiausaha Antarabangsa DAP dalam pada itu turut berharap agar Speaker Dewan Rakyat, Azhar Azizan Harun dapat mempertimbangkan permohonan tersebut.
Johorkini