KULAI, 10 DIS: Ahli parlimen Kulai Teo Nie Ching meminta Menteri Kewangan menjelaskan peruntukan tambahan kepada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM).
Menurut Nie Ching yang memetik ucapan Menteri Kewangan pada 6 November, kenaikan kadar itu melibatkan peruntukan sebanyak RM2.2 bilion iaitu tambahan sebanyak RM700 juta yang dijangka memanfaatkan lebih 400 ribu penerima.
Antaranya kata Nie Cing ialah kadar bantuan OKU Tidak Berupaya Bekerja dinaikkan daripada RM250 kepada RM300, Kadar Bantuan Warga Emas dan Bantuan Penjagaan OKU dan Pesakit Kronik Terlantar dinaikkan daripada RM350 kepada RM500.
Manakala Kadar Elaun Pekerja OKU dinaikkan daripada RM400 kepada RM450 dan Kadar Bantuan Kanak-kanak Keluarga Miskin dinaikkan daripada RM100 seorang anak dengan maksimum RM450 sekeluarga, kepada RM150 seorang anak berumur 7 tahun hingga 18 tahun atau RM200 seorang anak berumur 6 tahun dan ke bawah dengan maksimum RM1,000 sekeluarga.
Menurut beliau, peruntukan kepada KPWKM pada 2020 adalah RM2.472 bilion, manakala peruntukan untuk tahun 2021 adalah RM2.584 bilion.
“Jadi di mana peruntukan tambahan sebanyak RM700 juta yang disebut oleh Menteri Kewangan? kata Nie Ching dalam satu kenyataan semalam.
Dalam pada itu beliau turut ingin mendapatlan penjelasan mengenai tempoh masa bantuan bulanan JKM yang akan dinaikkan ke RM1,000.
Nie Ching merujuk kenyataan Perdana Menteri semperna Hari OKU Sedunia 2020 pada 3 Disember bahawa “bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang pada masa ini berjumlah antara RM200 dan RM300 kepada mereka yang layak dinaikkan ke RM1,000.
“Apa maksud “segera”? Januari 2021? Mac 2021? Kalau hasrat YAB Perdana Menteri adalah menaikkan bantuan bulanan JKM ke RM1,000, kenapa ia tidak disebut dalam ucapan Belanjawan 2021?
“Yang paling penting, mana peruntukan untuk peningkatan ini? soalnya lanjut.
Johorkini