KLUANG, 4 MEI: Acara tahunan ‘Kedai Muhibah Raya’ dianjurkan sekali lagi oleh ahli parlimen Kluang, Wong Shu Qi bagi menghadiahkan pakaian secara percuma kepada penduduk di kawasan parlimen ini.
Shu Qi dalam satu kenyataan memaklumkan, objektif ‘Kedai Muhibah Raya’ adalah untuk menyumbang kembali kepada masyarakat dan meraikan mereka yang tidak berkemampuan untuk menyediakan barangan keperluan menjelang Aidilfitri nanti.
“Berita baik buat warga Kluang. Kedai Muhibah Raya telah beroperasi sehingga 12 Mei 2021.
“Anda boleh ambil baju yang anda suka secara percuma,” kata Shu Qi dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah beliau, program itu turut mendapat kerjasama dari pelbagai pihak termasuk pihak swasta dan orang ramai yang turut menyumbang pakaian dan barangan keperluan.
Melalui program itu, sikap bergotong-royong dan bantu-membantu dapat dipupuk, sambil mengamalkan budaya berkongsi kegembiraan pada hari-hari perayaan.
Ia juga dapat menimbulkan rasa kekitaan di kalangan penduduk di kawasan parlimen Kluang dan dijangka program ini akan diteruskan pada sambutan hari perayaan yang lain.
“Kedai beroperasi di No. 20, Tingkat Bawah, Jalan 1/13, Taman Melanti, Taman Sri Kluang, berdekatan Pusat Hemodialisis Yayasan Rotary Kluang,” kata Shu Qi.
Mereka yang berhajat untuk mendapatkan pakaian percuma di Kedai Muhibah Raya boleh ke lokasi program melalui pautan berikut
Johorkini