JOHOR BAHRU, 21 JUN: Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) tidak menghalang wakil-wakil rakyat di Johor untuk turun padang dan bekerja keras bagi membantu mangsa banjir.

Adun Pekan Nanas, Yeo Tung Siong (kanan) membantu mengangkat barangan bantuan
Kehadiran banjir yang bertandang pada setiap pertengahan tahun di Johor adalah berpunca daripada tiupan angun monsoon barat daya yang membawa hujan berlarutan selama beberapa jam semalam.
Susulan itu, wakil-wakil rakyat di Johor bersama para petugas pusat khidmat di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen masing-masing menghulurkan bantuan setiap kali terdapat kawasan diwakili mereka yang dinaiki air.
Antaranya Adun Pekan Nenas, Yeo Tung Siong yang membantu memindahkan penduduk kampung dan mangsa banjir yang terperangkap.
“Banjir kilat di berlaku beberapa tempat dalam kawasan Dun Pekan Nanas.
“Antara tempat yang terjejas teruk adalah Kampung Parit Pasir. Hujan lebat dari subuh semalam tanpa henti dengan kuantiti yang banyak menyebabkan banjir kilat.
“Buat masa sekarang banjir kilat di Kampung Parit Pasir melibatkan lebih kurang 30 keluarga, Pihak Bomba telah mengarahkan penduduk meninggalkan kawasan banjir dan berkumpul di Dewan Serbaguna Parit Pasir.
“Proses pembukaan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) bermula dengan permohonan dibuat Penghulu kepada Pegawai Daerah untuk dapat kelulusan.
“Jika mendapat kelulusan Pegawai Daerah barulah agensi seperti JKM akan membuka dengan rasmi PPS tersebut,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebook semalam.

Adun Semerah, Mohd Khuzzan Abu Bakar meninjau kawasan banjir di Peserai, Batu Pahat malam tadi
Sementara itu Adun Semerah, Mohd Khuzzan Abu Bakar memandu sendiri kenderaan dan melawat PPS di sekitar Batu Pahat.
Menurutnya, satu PPS sudah dibuka di Kg Peserai dan terdapat 25 orang yang terdiri dari lima keluarga telah dipindahkan di situ.
“Sempat bertemu dengan Ahli Parlimen Parit Sulong, Datuk Dr. Noraini Ahmad untuk berbincang tentang masalah banjir kilat yang sering melanda kawasan Peserai.
“Kepada kita semua. Sila pantau anak-anak kecil dari bermain air banjir, jaga keselamatan diri dan keluarga.
“Moga kita tabah dan selamat dalam mengharungi bencana ini,” katanya.

Adun Kota Iskandar (bertopi) meninjau operasi pemindahan mangsa banjir di Gelang Patah
Di Gelang Patah, Adun Kota Iskandar Dzulkefly Ahmad turut membantu menguruskan perpindahan sementara (transit) penduduk Kampung Baru Muafakat, Gelang Patah ke Dewan Raya, pekan Gelang Patah
“Terima kasih kepada agensi yang terlibat seperti Jabatan Pertahanan Awam, Polis, Bomba, Pejabat Kesihatan dan lain- lain,” kata Dzulkefly.
Beliau dalam pada itu turut melawat kawasan tanah mendap di kawasan kedai di Jalan Penyiaran 1, Taman Universiti selepas menerima aduan orang ramai.
“Saya dapati mendapan dan robohan dinding parit berlaku. Saya akan buat susulan lanjut dengan Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) secepat mungkin,” kata Dzulkefly.
BACA: Jangan harap kerusi BN, kata Khaled Nordin kepada parti Gerakan
Sementara itu ahli parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman melalui pusat khidmat parlimen itu memaklumkan pihaknya turut menyampaikan bantuan di beberapa PPS di daerah itu antaranya di SK Parit Nawi, SK Orang Kaya Ali dan SK Tanjung Tohor.
“Pejabat Parlimen Muar bersama Pasukan Skuad Muar bersama-sama turun padang melihat keadaan banjir yang melanda di kedua-dua kawasan DUN.
“Pek makanan tengahari dan bekalan makanan buat mangsa banjir telah kami agihkan ke rumah-rumah mangsa.
“Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Muar juga sedang meneliti jenis kerugian yang dialami. Kami akan mengumpul sumber dan bekalan bantuan bagi mangsa-mangsa banjir yang terlibat,” katanya.
Johorkini