JOHOR BAHRU, 31 JAN: Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) disaran melaksanakan kaedah pemotongan gaji keatas pemilik premis di bawah seliaan pihak berkuasa tempatan (PBT) itu sebagai kaedah menyelesaikan masalah cukai pintu tertunggak.
Cadangan itu diutarakan oleh salah seorang Ahli Majlis PBT itu, Aminuddin Ayiub ketika memberi ucapan penutupan semasa Mesyuarat Penuh MBJB Bilangan 1 Tahun 2020, di sini, kelmarin.
Aminuddin ditemui wartawan kemudiannya memberitahu, cadangan itu digalak dimulakan oleh MBJB sekaligus menjadi contoh kepada PBT lain di masa akan datang.
“Apabila MBJB memulakan langkah ini, saya rasa semua PBT lain dalam negara boleh menggunakan konsep ini. Malah kaedah seperti ini telah digunakan di Singapura dan saya kira kaedah ini boleh dipraktikkan di bawah pemerintahan kerajaan yang baru ini.
“Langkah ini juga dapat mengatasi masalah isu pembayaran cukai yang tertunggak dan sering dibangkitkan dalam mesyuarat,” katanya.
Tambahnya, beliau akan membawa cadangan itu kepada mesyuarat pengurusan MBJB dan cadangan ini perlu mengambil kira pelbagai faktor lain termasuk soal perundangan dan sebagainya.
“Saya rasa perkara ini tiada masalah, cuma perlu mendapat kebenaran daripada pemilik premis untuk membuat pemotongan gaji dan pendapat saya juga ia dapat memudahkan semua pihak.
“Bagaimanapun, saya tidak berani mengatakan kaedah ini boleh dibuat kerana ia hanya peringkat cadangan dan banyak faktor perlu dilihat, terutamanya soal perundangan,” katanya lagi.
JohorKini