BM | EN | 中文

Agong zahir takziah kepada keluarga Dr Harjit Singh

Agong-Presiden-Majlis-Kriket-Johor-JCC.jpg
Advertisement

KUALA LUMPUR, 20 OKT: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga bekas bintang dan pemain kriket negara Datuk Dr Harjit Singh, 70, yang meninggal dunia akibat komplikasi jantung malam tadi.

Dalam kenyataan yang dimuat naik menerusi Facebook Istana Negara, Seri Paduka turut menzahirkan rasa sedih dengan pemergian mendiang dan berharap seluruh keluarga mendiang sabar dan tabah menghadapi suasana sedih dan pilu itu.

“Khidmat bakti dan jasa mendiang, khususnya kepada pembangunan dan perkembangan sukan kriket negara amatlah dihargai dan pemergian mendiang merupakan satu kehilangan besar kepada arena kriket negara,” demikian menurut kenyataan itu.

Advertisement

Dilahirkan pada 1950, mendiang merupakan anak kepada bekas pemain kriket terkenal daripada Kelab Kilat, Meva Singh.

Penglibatan mendiang yang juga doktor perubatan itu sebagai pemain kriket bermula dengan pasukan kriket Maktab Sultan Abu Bakar dari 1963 hingga 1966.

Ketika berusia 16 tahun, mendiang menjadi pemain termuda yang mewakili Johor dalam liga utama kriket Malaysia selain turut mengetuai pasukan kriket Medical College XI mewakili Ranchi Universiti dan daerah Dhanbad ketika melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan di India.

Advertisement

Dr Harjit mewakili skuad kriket negara bermula pada 1980 dan menjadi ketua pasukan kriket Johor (liga kebangsaan) dari 1982 hingga 1985.

Mendiang pernah menyandang pelbagai jawatan dari 1987 bermula dengan Presiden Majlis Kriket Johor dan Timbalan Presiden Persatuan Kriket Malaysia selama 14 tahun hingga 2003.

Beliau juga merupakan pengasas progam kriket di sekolah-sekolah rendah di Malaysia pada 1987 dan penerima Anugerah Kepimpinan Sukan Johor pada 1989, 1995 dan 2007.

Advertisement

Menurut kenyataan itu, sebagai penghargaan atas jasa beliau, mendiang turut dikurniakan anugerah khas daripada Yang di-Pertuan Agong ke-10 Almarhum Tuanku Ja’afar Ibni Almarhum Tuanku Abdul Rahman pada 1998.

Bernama

Advertisement

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top