JOHOR BAHRU, 22 APRIL: Agensi penguatkuasaan di negeri ini melancarkan Op Pintas Bersepadu Selatan dalam usaha menangani aktiviti jenayah rentas sempadan yang berlaku di negeri ini.
Operasi berkenaan melibatkan kerjasama beberapa agensi iaitu Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Jabatan Imigresen Malaysia.
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, fokus utama op berkenaan adalah untuk memastikan sempadan negeri sama ada perairan dan daratan tidak dicerobohi.
“Kawalan di daratan akan dipertingkat menerusi pos kawalan di pesisiran pantai sepanjang negeri Johor, sementara itu di peringkat daerah sekatan jalan raya akan turut ditambah daripada 62 kepada 92.
“Manakala bagi kawalan di lautan pula, aset di lautan akan diatur gerak secara optimum, begitu juga dengan perkongsian maklumat antara agensi kerajaan terlibat,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar yang diadakan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, di sini hari ini.
Yang turut hadir, Timbalan Komander Rejimen 501 Askar Wataniah, Leftenan Kolonel Kaharudin Katan; Pengarah Maritim Johor, Laksamana Pertama Maritim Aminuddin Abd Rashid; Pengarah Kastam Johor, Datuk Mohd Hamiddan Maryani dan Pengarah Imigresen Johor, Baharuddin Tahir.
Tambah Ayob Khan, kerjasama strategik antara agensi terlibat telah lama terjalin namun menerusi op ini, atur gerak akan dibuat secara lebih tersusun.
“Op Pintas Bersepadu Selatan ini juga akan diteruskan walaupun selepas perintah kawalan pergerakan (PKP) ditamatkan,” tambahnya.
Sementara itu, beliau turut memaklumkan kejayaan pihaknya menahan tiga tekong dan tiga pendatang asing tanpa izin (PATI) di kawasan pantai Teluk Ramunia, Pengerang pada jam 9 malam, semalam.
“Bot Ronda Marin berjaya mengesan sebuah bot pancung sebelum mengejar bot berkenaan selama kira-kira 20 minit, sebelum bot pancung terbabit bertindak melanggar bot ronda marin.
“Bot pancung berkenaan terbalik dan pihak berkuasa berjaya menahan enam suspek, manakala seorang lagi maut dan seorang lagi gagal ditemui,” katanya.
Ayob Khan turut memberitahu pihaknya komited membanteras aktiviti jenayah dan penyeludupan migran di negeri ini secara menyeluruh.
Johorkini