BM | EN | 中文

Agensi KPLB peruntuk RM231 juta bantu golongan terjejas PKP 3.0

Kementerian-Pembangunan-Luar-Bandar-KPLB.png
Advertisement

KUALA LUMPUR, 22 JUN: Semua agensi di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) menyediakan peruntukan berjumlah RM231 juta khusus bagi membantu golongan yang terjejas sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad berkata bantuan dan insentif itu bakal memanfaatkan sejumlah 833,197 orang usahawan, penyewa dan peminjam untuk membantu mereka meneruskan kelangsungan hidup serta meningkatkan pendapatan.

“Majlis Amanah Rakyat (MARA) meneruskan inisiatif sedia ada di bawah Pakej Bantuan MARA 3.0 iaitu Program MARA Prihatin: Peace of Mind 3.0, penjadualan semula bayaran balik pembiayaan MARA dan diskaun sewa kepada penyewa premis perniagaan MARA,” katanya dalam kenyataan semalam.

Advertisement

Sementara itu lima agensi di bawah Lembaga Kemajuan Wilayah (LKW) pula menawarkan pengecualian bayaran premis perniagaan, penangguhan bayaran sewa rumah, sewa tanah dan bayaran balik pinjaman, serta menstruktur semula dan memperluas program-program keusahawanan di agensi.

Agensi-agensi berkenaan terdiri daripada Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda), Lembaga Kemajuan Wilayah Johor Tenggara (Kejora), Lembaga Kemajuan Wilayah Kelantan Selatan (Kesedar), Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (Keda) dan Lembaga Kemajuan Wilayah Terengganu Tengah (Ketengah).

Abdul Latiff berkata agensi-agensi lain di bawah KPLB seperti Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) pula menawarkan insentif moratorium, bantuan dan kursus serta bantuan bakul makanan untuk masyarakat Orang Asli.

Advertisement

Selain itu, KPLB juga akan meneruskan tiga program bantuan di bawah Skim Pembangunan Kesejahteraan Rakyat iaitu Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT), Program Latihan Kemahiran dan Kerjaya (PLKK) serta Program Peningkatan Pendapatan (PPP) untuk menyokong Pelan Pemulihan Negara.

“PPRT akan terus dilaksanakan dalam tempoh Pelan Pemulihan Negara dengan sasaran tambahan sebanyak 200 projek bina baru dan 5,800 projek baik pulih melibatkan peruntukan RM142 juta,” katanya.

Menurut beliau PLKK juga memperuntukkan RM10 juta untuk menyediakan peluang latihan kerjaya khususnya untuk golongan B40 di luar bandar.

Advertisement

Katanya PPP pula membantu kumpulan sasar dalam kalangan miskin tegar, miskin dan B40 untuk meningkatkan pendapatan semasa menerusi had siling bantuan RM10,000 setiap penerima, melibatkan peruntukan RM7 juta.

Selain itu, bagi membantu usahawan luar bandar, KPLB telah melaksanakan Program DesaMall@KPLB, Program Jana Niaga MARA Shoppe dan Program eKUD@KPLB untuk meluaskan pemasaran produk serta perkhidmatan golongan itu melalui platform e-dagang.

“Dengan peruntukan tahun semasa RM1 juta, KPLB menyasarkan 1,000 produk usahawan luar bandar dipasarkan di platform e-dagang pada tahun ini,” katanya.

Advertisement

Abdul Latiff berkata bagi menyokong kejayaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan pula, KPLB akan menggerakkan sumber tenaga dan aset dalam membantu negara mencapai imuniti kelompok menjelang 2022.

Jelasnya KPLB telah mengaktifkan kesemua 191 buah Pusat Komuniti Desa (PKD) sebagai Pusat Daftar Vaksin Luar Bandar bermula 20 Mei dan setakat 15 Jun, seramai 6,558 orang telah mendaftar.

Bernama

Advertisement

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top