SUBANG JAYA, 7 NOV: Karnival Kerjaya Subang Jaya secara dalam talian menyasarkan penyertaan 100 majikan sepanjang tiga hari berlangsung bermula 19 November ini.
Adun Subang Jaya, Michelle Ng berkata pembabitan lebih banyak majikan membolehkan masalah pengangguran terutama akibat pandemik Covid-19 dapat dikurangkan.
Ujarnya, program dengan kerjasama Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) serta beberapa syarikat itu tidak menghadkan penyertaan dari Dewan Undangan Negeri tersebut sahaja tetapi juga kawasan lain.
“Ini sebagai usaha mengatasi masalah pengangguran. Selain dapat membantu individu kehilangan kerja, majikan juga turut menerima manfaat di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).
“Antanya menerima subsidi gaji selama enam bulan dan elaun latihan RM30 bagi setiap pekerja,” katanya, lapor SelangorKini.
Michelle berkata karnival hingga 21 November itu turut akan melaksanakan kursus kemahiran bagi melatih pekerja mendalami bidang baharu.
“Antara syarikat bersetuju sertainya adalah anak syarikat Sunway Group, City-Link dan Costa Coffee,” katanya.
Tambah beliau, majikan yang mahu menyertai karnival terbabit boleh menghubungi pihaknya, manakala pendaftaran peserta boleh dilakukan sehingga 15 November ini.
Johorkini