BM | EN | 中文

Adun Stulang terharu, semangat saling membantu temukan keluarga terpisah 20 tahun

Adun-Stulang-terharu-semangat-saling-membantu-temukan-keluarga-terpisah-20-tahun.png
Advertisement

JOHOR BAHRU, 21 DIS: Sikap saling saling bantu-membantu yang ditunjukkan oleh pelbagai pihak akhirnya berjaya menamatkan pencarian warga Malaysia di Singapura, yang terpisah sejak 20 tahun lepas apabila disatukan semula dengan anak-anaknya.

Adun Stulang, Andrew Cheng Kah En yang turut terlibat dalam inisiatif itu berkata, beliau berasa gembira apabila dapat menyaksikan sendiri detik bersejarah ahli keluarga yang telah terpisah sekian lama bersua muka kembali dengan bapa mereka yang telah lama terpisah.

“Setelah 20 tahun berpisah dengan ayah, Puann Haslizah dan Puann Khazimah berlinang air mata apabila ayah berada di depan mata mereka pagi tadi. Air mata bahagia dan juga air mata ikatan antara bapa dan anak.

Advertisement

“Saya amat terharu dengan semangat saling bantu-membantu yang ditunjukkan oleh pelbagai pihak,” kata Andrew dalam catatan di laman facebook beliau.

Andrew berkata, beliau berhubung dengan anak-anak Ali sejak awal bulan ini bagi menguruskan proses membawa pulang ke sini dan ia mendapat bantuan dan kerjasama pelbagai pihak termasuk Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Singapura, Pihak Berkuasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) Singapura, Alpha Ambulance, Jabatan Kebajikan Masyarakat serta Jabatan Kastam Diraja Malaysia.

“Pencarian tu berakhir kurang 24 jam, Ali Jais ditemukan di sebuah rumah jagaan warga emas di Singapura.

Advertisement

“Terima kasih tak terhingga kepada Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Singapura, Dr Kaarthigan Ramaiah, Kementerian Kesihatan, Bukit Batok Home for the Aged, Bernama, FB group Malaysia-Singapore Border Crossers dan ramai yang menghulurkan bantuan,” ujarnya lanjut.

Terdahulu Bernama melaporkan Ali Jais, 84, yang tinggal di rumah jagaan warga emas ‘Bukit Batok Home For The Aged’ di Singapura ditemukan semula dengan keluarganya dalam satu pertemuan di Johor Bahru pada Sabtu.

Ali yang mengalami masalah lutut disambut dengan pelukan dan tangisan kegembiraan dua daripada tiga anaknya, Hasliza, 41, dan Khazimah, 37, sebelum dibawa balik ke rumah anak sulungnya, Hasliza di Batu Caves, Selangor untuk menjalani kuarantin.

Advertisement

Menurut Hasliza, dia amat bersyukur dapat bersua muka kembali dengan bapa mereka yang telah lama terpisah, bagaimanapun detik bersejarah itu tidak dapat disaksikan seorang lagi adiknya, Haslina, 39, yang bertugas sebagai jururawat.

“Akhirnya kami disatukan kembali dengan abah dan 31 Dis ini adalah hari jadi abah. Jadi, kami merancang hendak mengadakan majlis doa selamat sempena pertemuan ini. Kami tidak sangka dapat jumpa abah secepat ini.

“Kami terlalu rindu, seluruh keluarga merinduinya. Syukur segala proses untuk membawa pulang abah berjalan lancar. Terima kasih kepada semua yang membantu,” katanya.

Advertisement

Misi membawa pulang Ali mendapat kerjasama daripada pelbagai pihak di Singapura dan Malaysia.

Berasal dari Kuala Selangor, Ali kali terakhir ditemui anak-anaknya pada 2001, selepas berpisah dengan isterinya.

Johorkini

Advertisement

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top