JOHOR BAHRU, 18 MEI: Adun Skudai, Tan Hong Pin dan Adun Pekan Nanas, Yeo Tung Siong membantu Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan para pelajarmya yang kini sedang menjalani tempoh kuarantin di dalam kampus.
Antara bantuan diberikan oleh kedua Adun Johor trsebut adalah barangan termasuk kelengkapan perlindungan diri (PPE) dan peralatan pembersihan diri.
Hong Pin berkata, beliau selaku alumni UTM telah mengadakan perbincangan dengan pentadbiran, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Pengetua Kolej tentang keadaan mahasiswa yang sedang menjalani kuarantin membabitkan tiga kolej kediaman sehingga 19 Mei.
“Sedikit sebanyak usaha ini dapat membantu pihak pentadbiran UTM sekaligus mahasiswa tersebut.
“Kami sebagai alumni UTM amat berbesar hati dapat menyumbang dan membantu dalam situasi begini.
“Sementara itu, kami juga akan membawa cadangan mengutamakan proses vaksinasi menbabitkan barisan hadapan, sukarelawan dan mahasiswa di UTM kepada pengetahuan YAB Menteri Besar Johor dalam masa terdekat,” kata Hong Pin dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Hong Pin, tempoh kuarantin tersebut mungkin akan dilanjutkan berdasarkan nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Tambahnya dalam perbincangannya, pihak UTM meletakkan keyakinan tentang bekalan makanan yang ada untuk menampung keperluan mahasiswa sepanjang tempoh kuarantin tersebut.
“Walau bagaimanapun, pihak UTM memaklumkan tentang bekalan kelengkapan perlindungan diri (PPE) seperti pelitup muka dan pencuci tangan dan keperluan kebersihan diri seperti pembersih badan, ubat dan berus gigi serta tuala wanita yang diperlukan oleh mahasiswa terbabit.
“Sehubungan itu, kami di Pusat Komuniti Skudai akan menghantar bekalan pertama kepada pihak UTM pada hari ini untuk pengagihan segera kepada mahasiswa terbabit.
“Warga yang sudi untuk membantu mahasiswa kita ini boleh hubungi Pusat Komuniti Skudai melalui talian WhatsApp di 010-531 3758,” ujarnya lagi.
Johorkini