BATU PAHAT, 10 DIS: Adun Senggarang, Ir Khairuddin A Rahim membotakkan kepalanya sebagai sokongan kepada kempen membantu pesakit kanser pada program ‘Gift Your Hair For Love’.
Khairuddin berkata, program tersebut menggalakkan orang ramai untuk memotong rambut mereka sepanjang 6 inci untuk dijadikan rambut palsu yang akan didermakan kepada pesakit kanser.
Katanya lagi, terdapat juga dermawan yang mendermakan wang tunai selain turut membotakkan kepala mereka tanda sokongan kepada pesakit kanser.
Dalam pada itu, Khairuddin turut menasihatkan orang ramai untuk membuat pemeriksaan kesihatan di klinik atau hospital bagi mengesan awal penyakit kanser sebagai langkah mencegah penyakit tersebut.
“Pemeriksaan kesihatan secara berkala adalah langkah yang proaktif dan dinasihatkan pada mereka yang terkena penyakit kanser ini mendapatkan rawatan dari doktor yang pakar dalam bidang tersebut.
“Ikut nasihat doktor sekiranya memerlukan rawatan kimoterapi dan sebagainya serta diharap jangan mengambil risiko dengan harapan yang diberikan dari perawat yang tidak bertauliah.
“Usaha ke arah membuat kimoterapi atau pembedahn perlu ada keberanian dan jangan percaya kepada harapan yang palsu datang dari mereka yang tidak bertauliah,” katanya ketika dihubungi.
Tambahnya lagi, kerajaan Johor hari ini telah menyediakan program untuk membantu golongan yang kurang berkemampuan dalam soal kesihatan.
“Semua penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) berumur 18 tahun sehingga 65 tahun telah diinsurankan di bawah program My Salam yang mana mereka layak menerima insentif RM8000 dari program tersebut sekiranya penama didapati mengidap sakit kanser.
“Ini adalah usaha kerajaan negeri untuk membantu golongan kurang berkemampuan untuk mengurangkan kos atau bebanan yang dialami oleh mereka dari segi soal kos rawatan.
“Program yang dianjurkan seperti kempen ini baik dan ia diharap dapat membantu menguatkan semangat pesakit-pesakit kanser serta diharapkan dapat dikembangkan lagi di seluruh negeri Johor,” katanya.
Program yang dianjurkan oleh Kelab Rotary bersama Kelab Lion hari ini telah diadakan di BP Mall Batu Pahat Johor.
Johorkini