KULAI, 11 FEB: ADUN Senai, Alan Tee Boon Tsong telah membuat lawatan kerja ke Lapangan Terbang Antarabangsa Senai (LTAS), di sini, semalam bagi mendapatkan maklumat terkini berkaitan langkah-langkah pencegahan penularan wabak Koronavirus.
Dalam lawatan ini, Alan diiringi oleh Pegawai Daerah Kesihatan Daerah Kulai, Dr Faridah Ali dan Ketua Pegawai Eksekutif Senai Airport Terminal Service Sdn Bhd (Senai Airport), Md Derick Basir bagi melihat sendiri kaedah saringan kesihatan yang dijalankan di pintu ketibaan.
Mereka turut mengambil kesempatan mengedarkan penutup muka dan hidung kepada semua penumpang dan pengunjung di situ.
Inisiatif berkenaan diambil oleh Pejabat Kesihatan Daerah Kulai Senai Airport bagi mencegah penularan wabak termasuklah saringan kesihatan ke atas penumpang dan anak kapal yang tiba dengan penerbangan antarabangsa.
Berikutan itu, Alan turut mengumumkan peruntukkan sejumlah RM50,000 bagi menyumbang sebuah mesin pengimbas haba dan cecair pencuci tangan untuk kegunaan para pengunjung di LTAS.
“Mesin berkenaan dijangka akan diserahkan kepada Jabatan Kesihatan Daerah Kulai dalam masa terdekat,” katanya.
JohorKini