SHAH ALAM, 17 OKT: Seorang Ahli Dewan Negeri yang mewakili kawasan Balakong, Wong Siew Ki kini gigih membangunkan kawasan diwakilinya sebagai destinasi pelancongan industri pada tahun depan.
Menurut beliau sekurang-kurangnya lima kilang termasuk ais krim jenama Polar dikenal pasti dalam program tersebut.
Wong Siew Ki meletakkan syarat kilang mesti memiliki keunikan selain persekitaran kerja yang bersih dan ada ruang pameran.
“Kita cari jalan bagi menghidupkan semula kawasan industri yang lama. Namun, usaha ini baharu dibuat dan memerlukan masa untuk direalisasikan,” katanya, lapor Media Selangor.

Pelancongan industri di Balakong
Beliau yakin projek itu akan menjadikan Balakong diingati sebagai pusat lawatan sambil belajar ke kilang bersejarah, yang sesetengahnya berusia lebih 30 tahun,
Kata Siew Ki, kini beberapa premis lagi sedang dinilai dan melalui kempen itu, ia mampu mengangkat imej negeri yang sinonim dalam sektor perindustrian, apatah lagi, satu pertiga keluasan Balakong meliputi kawasan perindustrian.
Dalam pada itu kata Siew Ki, beliau tidak senang dengan kewujudan kilang haram dan memberi perhatian untuk membanterasnya seiring rungutan penduduk setempat berikutan ia menjejaskan alam sekitar dan kesihatan rakyat.
“Kilang haram menimbulkan kesukaran untuk mengurus dan menambah baik kawasan perindustrian sedia ada. Pencemaran udara dan bunyi juga sering berlaku,” katanya lagi.
Johorkini