PONTIAN, 9 NOV: Kebakaran besar melibatkan lima buah rumah di Kampung Sri Dungun, Pontian mendapat perhatian dari Adun Pulai Sebatang, Muhammad Taqiuddin Cheman.
Beliau ketika ditemui di tempat kejadian merakamkan rasa simpati terhadap mangsa yang dikejutkan dengan kebakaran awal pagi tadi.
“Kita merakamkan simpati di atas kejadian ini dan kita akan berusaha mencari cara atau kaedah bagi mendapatkan semula tempat berteduh untuk lima keluarga ini.
“Saya akan membawa suara mereka untuk diperjuangkan dan jentera daripada pihak Parti Amanah kawasan (Pontian) dan Pusat Khidmat Wakil Rakyat (PKWR) Dun Pulai Sebatang akan digerakkan bagi menyantuni mangsa tersebut.
“Lawatan kami hari ini bagi memperolehi data peribadi mangsa, melihat keadaan dan memberi sumbangan kepada mereka serta membincangkan langkah seterusnya untuk kami jalankan,” katanya.
Beliau yang merupakan Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) Johor berkata pihaknya akan berusaha mencari lagi penyumbang di kalangan parti mahupun individu selain dari parti.
“Pihak kami telah carikan tiga biji rumah untuk disewa mangsa kebakaran untuk sementara waktu sebelum mereka mendapat kediaman lain yang akan diusahakan.
“Kita mengajak masyarakat untuk sama-sama meringankan bebanan yang ditanggung oleh mangsa. Segala bentuk sumbangan amatlah diharapkan dalam usaha ini.
“Semua pihak tidak mengira latar belakang politik boleh memberikan sumbangan secara terus kepada pihak mangsa mahupun pihak kami untuk kami agihkan kepada mangsa berkenaan,” katanya.
Dalam pada itu, Angkatan Wanita Amanah Negara (AWAN) Johor yang diketuai oleh Nor Hayati Bachok turut hadir menyampaikan sumbangan sebagai tanda simpati kepada mangsa tersebut.
Johorkini