ISKANDAR PUTERI, 8 MAC: ADUN Pakatan Harapan (PH) hari ini menyampaikan surat memohon diadakan Sidang Khas DUN bagi mengesahkan sokongan majoriti diterima Menteri Besar, Datuk Ir Hasni Mohammad dalam membentuk kerajaan negeri baharu.
Surat permohonan itu diserahkan secara terus kepada Speaker DUN, Suhaizan Kaiat pada jam 11 pagi, di Pejabat Speaker DUN, Kota Iskandar, di sini hari ini.
Penyelaras PH Johor, Aminolhuda Hassan berkata, tindakan pihaknya itu bertujuan untuk mendapatkan keadilan.
“Tindakan ini dibuat bukan untuk mempertikaikan lantikan dibuat Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, tetapi yang kami pertikaikan adalah pengakuan Menteri Besar.
“Kami menghantar surat permohonan mengadakan Sidang Khas DUN ini untuk menentukan sokongan ADUN kepada Menteri Besar,” katanya dalam sidang akhbar yang diadakan selepas menyerahkan surat berkenaan.
Majoriti ADUN PH hadir termasuklah beberapa bekas exco kerajaan negeri.
Sementara itu, Suhaizan memberitahu, pihaknya menerima surat permohonan tersebut dan akan menilai justifikasi permohonan itu.
“Kita baharu menerima surat permohonan ini, langkah seterusnya adalah untuk menilai justifikasinya sebelum tindakan seterusnya dibuat.
“Sebarang keputusan diambil akan dimaklumkan kelak,” tambahnya.
Johorkini