PONTIAN, 12 OGOS: Beberapa keluarga di kawasan DUN Pekan Nanas di sini menerima bantuan tablet untuk digunakan dalam Pembelajaran dan Pengajaran di Rumah (PdPR) melalui inisiatif Adun Pekan Nanas, Yeo Tung Siong.
Beliau yang lebih dikenali sebagai ‘Cikgu Yeo’ berkata sumbangan berkenaan diserahkan dermawan melaluinya untuk membantu keluarga yang memerlukan tablet kerana tidak memiliki peranti atau gajet bagi proses pembelajaran.
“Proses pengajaran dan pembelajaran secara dalam talian telah dilaksanakan di seluruh negara sejajar dengan amalan norma baru susulan pandemik.
“Namun begitu, terdapat pelajar yang terpaksa berkongsi gajet disebabkan bilangan adik-beradik yang ramai dan keadaan kewangan keluarga yang lemah. Hal ini sedikit sebanyak akan membawa tekanan dan menjejaskan prestasi akademik mereka.
“Dengan bantuan Puan Chong, Encik Gan memutuskan untuk menderma empat buah tablet yang baharu kepada keluarga di Pekan Nanas yang menghadapi masalah sebegini,” katanya dalam satu hantaran di laman facebook beliau.
Selain itu kata Cikgu Yeo, beliau turut menerima peranti lain yang disumbangkan oleh bekas ketua kampung Pekan Nanas iaitu Encik Koh.
“Tiga buah tablet lagi akan diserahkan kepada mereka yang memerlukan dalam masa terdekat.
“Mudah-mudahan ia dapat membantu untuk memperoleh kejayaan yang cemerlang dalam akademik pada suatu hari nanti.
“Saya ingin sekali lagi mengucapkan terima kasih kepada dermawan yang berjiwa besar,” katanya.
Dalam pada itu Cikgu Yeo turut merakamkan penghargaan kepada Encik Gan yang menyumbangkan tepung seberat 120kg, minyak masak seberat 130 kg dan mihun sebanyak 130 pek kepada pusat khidmat DUN Pekan Nanas.
“Terima kasih juga kepada yang terlibat dalam usaha ini.
“Saya akan memastikan sumbangan tersebut dihantar kepada mereka yang memerlukan,” katanya lagi.
Johorkini