PONTIAN, 21 JAN: Adun Pekan Nanas, Yeo Tung Siong memohon agar kerajaan tidak lagi menempatkan pendatang asing tanpa izin (PATI) yang dijangkiti Covid-19 ke pusat tahanan imigresen Pekan Nanas.
Katanya tindakan itu dibimbangi menularkan wabak Covid-19 kepada pegawai imigresen, keluarga dan penduduk setempat.
“Sepatutnya PATI yang ingin dihantar masuk ke depoh perlu menjalani ujian saringan PCR terlebih dahulu. Jika negatif Covid-19, barulah dimasukkan ke dalam depoh, namun SOP yang dahulunya diamalkan kini tidak lagi dilaksanakan dengan baik.
“Saya difahamkan PATI yang dijangkiti Covid-19 masih dihantar masuk depoh Imigresen Pekan Nanas dari penjara lain sejak akhir-akhir ini.
“Saya membantah keputusan menghantar PATI yang telah Covid-19 positif ke depoh imigresen.
“Sekiranya ia dilakukan lagi dan menyebabkan penularan wabak semakin berleluasa, orang yang membuat keputusan tersebut perlu bertanggungjawab,” kata Yeo dalam satu kenyataan.
Beliau menyarankan kerajaan menggunakan dewan ataupun asrama institusi pendidikan sedia ada untuk menjadi pusat kurantin memandangkan ketika ini sesi persekolahan ditangguhkan.
“Pusat kuarantin boleh dibahagikan kepada beberapa kelas seperti kelas A bagi pesakit tidak bergejala manakala bagi kelas B pula untuk kontak rapat pesakit Covid.
“Penubuhan pusat kurantin ini bertujuan mengelakkan pesakit ataupun kontak rapat yang kurang berdisiplin berhubung dengan orang awam ataupun ahli keluarga dalam tempoh kuarantin untuk mengurangkan risiko penularan dan memutuskan rantaian.
“Untuk menyelesaikan masalah ini seharusnya pihak MKN, Kementerian Pendidikan, KDN, Kementerian Pertahanan dan kementerian yang lain duduk semeja untuk mendapatkan solusi terbaik.
“Tatkala kes harian kebelakangan ini tidak kurang daripada empat angka, usaha untuk membuka sekolah dalam masa terdekat boleh dikaji semula.
“Dengan ini, bangunan kerajaan tersebut dapat digunakan bagi tujuan lebih kritikal.
“Bagi persoalan siapakah yang dapat mengawal pusat kuarantin sementara bagi PATI, sekarang adalah masa PKP, manakala Yang Dipertuan Agong telah menitahkan darurat di segenap tanah air.
“Justeru itu, wajar pihak tentera mengambilalih kawalan keselamatan khasnya di depoh tahanan sementara bagi PATI dijangkiti, kerana tugas menjaga keselamatan terutama mengelakkan PATI daripada melarikan diri adalah sukar dan mencabar,” ujarnya lagi.
Terdahulu, Yeo memaklumkan telah menghantar surat kepada KDN untuk memohon penghentian kemasukan PATI yang telah positif Covid-19 ke pusat tahanan imigresen Pekan Nanas.
Johorkini