KLUANG, 9 SEPT: Isu masalah perparitan di Taman Melati dalam DUN Paloh semenjak setahun lalu sedang dipulihkan, menurut Adun Paloh, Sheikh Umar Bagharib Ali.
Katanya, baikpulih itu dibuat selepas aduan penduduk dan projek dilaksanakan bagi mengelakkan saliran tersumbat yang boleh menyebabkan masalah banjir susulan masalah pada reka bentuk utama perparitan tersebut.
“Sejak tahun lalu, keadaan longkang di Jalan Biru 5 sentiasa menjadi perhatian saya. Ia perlu diperbaiki apabila penduduk mengadu aliran airnya tidak lancar.
“Pada 8 Ogos 2021, pejabat saya telah melaporkan hal ini menerusi hotline Aduan MPK menggunakan aplikasi WhatsApp rasmi mereka. 28 Ogos 2021, MPK menghubungi pegawai saya Majid untuk mendapatkan butiran lanjut.
“Alhamdulillah, semalam kerja-kerja baik pulih sudah dimulakan. Saya difahamkan kerja-kerja ini mengambil masa lebih kurang 4 hingga 5 hari,” kata Sheikh Umar dalam hantaran di laman Facebook beliau.
Susulan itu beliau turut berterima kasih kepada Majlis Perbandaran Kluang (MPK) yang cakna dengan isu dan mengambil tindakan segera.
“Saya harap dengan kerja-kerja baik pulih ini akan memberikan keselesaan kepada penduduk Taman Melati.” katanya lagi.
Johorkini