KLUANG, 18 DIS: Prihatin dengan keadaan rakyat di kawasannya yang dilanda bencana banjir mendorong ADUN Paloh, Sheikh Umar Bahgharib Ali turun padang ke kawasan itu.
Menurut beliau, antara punca banjir di kawasan Central Paloh berpunca daripada air yang melimpah dari kawasan projek Landasan Berkembar Elektrik (PLBE) Gemas-Johor Bahru yang kini dalam pembinaan.
Sheikh ‘Umar memaklumkan pihaknya kini juga telah turun padang bersama pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Central Paloh, Alex Yau bagi meninjau keadaan banjir kesan kesan kepada kawasan penempatan.
“Pembetung (culvert) yang terlalu kecil daripada projek landasan berkembar keretapi di sini mengakibatkan air melimpah keluar dan mengalir deras dan melibatkan kawasan rumah dan kebun milik penduduk sekitar,” katanya.

Pembetung yang tidak dapat menampung air dekat kawasan projek Landasan Berkembar Elektrik (PLBE) Gemas-Johor Bahru di Paloh
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Johor dalam pada itu turut meninjau situasi banjir di Kampung Muhibbah, di sini.
Katanya, banjir berpunca dari air bukit di belakang kawasan kampung yang masuk ke ladang sawit dan tidak mampu ditampung oleh pembetung air.
“Air kemudiannya melimpah masuk ke kawasan rumah penduduk kampung. Kebanyakan rumah-rumah ini bersebelahan dengan sungai,” katanya.
Lanjutan itu kata Sheikh ‘Umar, satu perbincangan di antara wakil penduduk dan pemaju bagi mengambil langkah-langkah penyelesaian telah dibuat.
“Saya sudah hubungi kontraktor dari YTL untuk ambil perhatian dan tindakan segera. Perbincangan lanjut juga sudah diadakan di antara pihak YTL dan Pengerusi MPKK Kg Muhibbah, Tok Zainal Saron.
“Semoga dipermudahkan segala urusan mereka yang terlibat dalam bencana banjir ini,” katanya lagi.
Johorkini