KLUANG, 24 FEB: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paloh, Sheikh Umar Bagharib Ali meneruskan agenda peduli rakyat dengan menyampaikan sumbangan kepada 30 keluarga di Taman Puteri dekat sini, baru-baru ini.
Menurut Sheikh Umar, sumbangan kepada penduduk taman perumahan ini dengan tumpuan kepada masyarakat India yang terdiri daripada keluarga yang memerlukan bantuan dan golongan B40.
“Syukur, dapat serahkan sedikit sumbangan untuk masyarakat India di Taman Puteri. Lebih kurang 30 orang penerima semuanya.
“Ada yang OKU, selebihnya adalah keluarga B40. Sumbangan kecil saya mungkin tak dapat nak selesaikan keseluruhan masalah yang mereka hadapi.
“Tapi paling penting, kita berikan semampu yang boleh untuk bantu mereka. Paling penting juga ialah tanda ingatan, rasa kasih dan saling ambil berat antara satu sama lain,” kata Shekih Umar dalam kiriman di laman Facebook beliau.
Tambahnya, dalam suasana pandemik Covid-19 yang melanda negara, semangat kejiranan dan mengambil berat antara jiran tetangga dapat membantu meringakankan beban mereka yang berdepan kesukaran.
“Ada juga yang mengadu pada saya berkaitan hal bantuan pendidikan anak mereka di universiti.
“Insya Allah pejabat saya akan bantu mereka untuk panduan berurusan dengan pihak-pihak yang berkenaan,” kata Sheikh Umar lagi.
Dalam perkembangan lain, beliau turut menyampaikan cenderahati sempena Tahun Baru Cina kepada wartawan tempatan berbahasa Cina, Madam Ng di pekan Paloh.
“Madam Ng merupakan wartawan tempatan bagi akhbar berbahasa cina di Paloh. Saya berikan sedikit cenderahati sempena Tahun Baru Cina buat beliau.
“Sumbangan kecil tak seberapa, tapi dari sudut hati saya yang ikhlas. Usaha Madam telah menjadikan Paloh dikenali di serata tanah air.
“Terima kasih Madam Ng atas kerja kuat melaporkan kisah-kisah warna-warni Paloh Kita,” katanya lagi.
Johorkini