KLUANG, 29 DIS: Adun Paloh, Sheikh Umar Bagharib Ali memohon kepada Majlis Perbandaran Kluang (MPK) untuk membina papan tanda sebagai panduan kepada laluan baru lintasan KTM di pekan Chamek.
Beliau dalam satu kenyataan hari ini berkata, berikutan projek landasan Berkembar Elektrik (PLBE) Gemas-JB yang dijalankan, lintasan utama pagar keretapi Chamek menuju ke pekan Paloh ditutup, iaitu sejak November lalu.
“Kesannya, ramai penduduk disini yang masih belum dapat membiasakan diri. Mereka keliru dan menghadapi kesukaran untuk ke Paloh dari arah Chamek menggunakan jalan yang baru.
“Saya mencadangkan, satu papan tanda jalan yang baru perlu dibina untuk bantu memudahkan pengguna jalan raya dan menjamin keselamatan mereka.
Susulan itu kata Sheikh Umar, beliau telah menghantar satu surat berkaitan hal ini kepada pihak Majlis Perbandaran Kluang (MPK) dan mencadangkan satu lakaran ilustrasi bagi menjelaskan cadangan pemasangan papan tanda baru tersebut
“Barangkali cadangan ini mungkin tidaklah terlalu tepat. Tetapi sekurang-kurangnya, ia menggambarkan hasrat yang diharapkan oleh penduduk Chamek.
“Untuk pemasangan papan tanda yang lebih tepat, ia tertakluk pada sebarang pindaan mengikut spesifikasi yang digariskan oleh MPK serta pihak-pihak berwajib.
“Sebagai wakil rakyat di kawasan ini, besarlah harapan saya agar perkara ini mendapat pertimbangan serta tindakan yang sewajarnya,” ujarnya lagi.
Johorkini