KLUANG, 14 SEPT: Adun Paloh, Sheikh Umar Bagharib Ali telah mengetuai penubuhan Unit Tindak Sembrong yang baru ditubuhkan bagi menjalankan kerja-kerja amal dan kebajikan untuk rakyat.
Beliau dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, terdapat pelbagai kaum yang menyertai Unit Tindak Sembrong ini termasuk dari orang Melayu, Cina, India dan juga Orang Asli.
Sheikh Umar berkata, program turun padang pertama juga telah dibuat selepas taklimat dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) di laman kediaman Encik Nasir, di Kampung Muhibah, Paloh.
Taklimat itu turut dihadiri Ketua Unit Tindak peringkat Johor, Ho Bao Kheong bersama ahli-ahli jawatankuasa.
“Kami semua telah menjalankan sanitasi di Pekan Paloh, Taman Kota Paloh dan Taman Palma bermula pukul 7.00 hingga 9.30 malam.
“Kami sanitasi lebih kurang 700 buah rumah dan 50 buah kedai.
“Selain itu, kami juga lakukan sanitasi di lokasi-lokasi awam Paloh seperti Pasar, Balai Polis, Stesen Bas dan stesen petrol. Unit Tindak kawasan Kluang juga telah menolong kami,” kata Sheikh Umar.
Beliau memaklumkan, Unit Tindak Sembrong telah membeli alat-alat sanitasi yang lengkap seperti jet air, mesin pam semburan dan pakaian keselamatan Covid-19 contohnya PPE, pelitup muka, face shield, boot getah dan sebagainya.
“Selain itu, kami juga telah mendapat sumbangan tangki air dari penduduk Paloh yang menyokong usaha kami ini.
“Dengan tertubuhnya Unit Tindak Sembrong, saya harap kami dapat melakukan lebih banyak kerja-kerja amal dan kebajikan untuk rakyat.
“Pada masa pandemik Covid-19 ini, kami akan fokus lakukan sanitasi.
“Pada masa yang sama, Unit Tindak Sembrong juga sentiasa bersedia untuk lakukan kerja-kerja amal yang lain seperti membantu rakyat ketika bencana alam, program kebajikan masyarakat, misi banjir dan sebagainya.
“Pasukan Unit Tindak menjalankan kerja-kerja amal dan kebajikan secara sukarela.
“Unit Tindak bukan satu entiti yang bermotifkan keuntungan,” katanya lagi.
Sheikh Umar berkata kepada mereka yang menyokong usaha ini dan ingin memberikan sumbangan, boleh menyalurkan sumbangan menerusi akaun bank: Pejabat ADUN Paloh (Maybank – 5510 6132 0542)
Johorkini