KLUANG, 8 DIS: Ahil Dewan Undangan Negeri (Adun) Pakatan Harapan di dalam daerah Kluang antara yang dijemput hadir dalam majlis taklimat Draf Rancangan Tempatan (RT) (penggantian) daerah Kluang 2030.
Adun Paloh, Sheikh Umar Bagharib Ali berkata, program itu diadakan di bangunan Majlis Perbandaran Kluang (MPK) semalam, yang turut dihadiri Adun Mahkota, Muhamad Said Jonit dan Adun Mengkibol, Chew Chong Sin.
Muhamad Said Jonit, merupakan wakil rakyat dari Parti Amanah Negara (Amanah) manakala Chew Chong Sin dari Parti Tindakan Demokratik (DAP).
“Semalam saya telah hadiri taklimat Draf Rancangan Tempatan (RT) daerah Kluang 2030 (penggantian) dekat Majlis Perbandaran Kluang (MPK).
“RT ialah peta dan pernyataan bertulis yang disokong oleh Garis Panduan Perlaksanaan sebagaimana yang diperuntukkan dalam Akta 172 Seksyen 12-16A.
“Senang cerita, RT ni akan memuatkan apakah rancangan pembangunan sesebuah daerah dalam masa sepuluh tahun mendatang.
“Sebelum ni, RT Daerah Kluang dibuat untuk tahun 2010-2020. Jadi, untuk sepuluh tahun berikutnya iaitu 2020-2030, RT dibuat sekali lagi untuk gantikan yang lama.
“Terima kasih MPK atas taklimat yang telah dijalankan ini,” kata Sheikh Umar dalam kiriman di laman Facebook beliau.
Sementara itu, ahli parlimen Kluang, Wong Shu Qi yang turut mengulang kongsi catatan sama berkata, perkara itu merupakan sejarah dan perubahan ke arah kebaikan.
“Kali pertama dalam sejarah Adun pihak pembangkang dijemput hadir taklimat Draf Rancangan Tempatan. Satu perubahan yang baik,” kata Shu Qi, yang pernah mewakili DUN Senai bagi penggal 2013-2018.
Dalam pada itu Sheikh Umar berkata, Draf Rancangan Tempatan itu turut melibatkan kawasan Paloh meliputi blok perancangan mukim Niyor dan Paloh itu sendiri.
Johorkini