KLUANG, 25 NOV: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Mengkibol Chew Chong Sin mengambil peluang menyantuni dan mendekati komuniti India Muslim sempena sambutan Maulidur Rasul yang disambut secara tradisi di Masjid Jamek Al-Kauthar atau lebih dikenali sebagai Masjid India Muslim, Kluang
Berbeza dengan masjid lain yang mempunyai kariah atau pun ahli berdasarkan kawasan masjid, Masjid India Kluang memiliki ahli daripada komuniti India Muslim dari seluruh daerah Kluang.
“Terdapat beberapa surau atau madrasah India Muslim dalam daerah Kluang, tapi cuma Masjid India Muslim Kluang bertaraf Masjid Jamek dan mengadakan solat fardhu Jumaat setiap minggu,” kata pengerusi masjid tersebut, Haji Hassan CK Hassan.
Dalam pada itu, Chew yang merupakan wakil rakyat kawasan tersebut mengambil peluang untuk mendekati komuniti India Muslin di daerah Kluang.
Menurutnya, komuniti India Muslim di Kluang banyak menyumbang kepada ekonomi tempatan terutamanya dalam sektor perniagaan dan perusahaan kecil setempat.
“Ini merupakan satu pengalaman yang sangat baik untuk saya.
“Disamping dapat memahami tradisi sambutan Maulidur Rasul, saya juga dapat berjumpa dengan komuniti minoriti ini yang akan berkumpul setiap tahun untuk menyambut sambutan ini,” kata Chew.
Adun Mengkibol itu berkata, pihaknya sebelum ini telah menyalurkan peruntukan berjumlah RM15,000 kepada masjid tersebut untuk membaiki kerosakan tembok dan tangga yang sudah mula roboh.
Difahamkan, kerja pembaikan tersebut kini pada fasa akhir dan hampir siap.
Sambutan Maulidur Rasul di Masjid India Muslim Kluang diadakan 23 November lalu dan dianggarkan kira-kira 1,500 hadirin dari seluruh negeri Johor dan daerah Kluang.
Ia disambut dengan meriah dan dinanti-nantikan oleh masyarakat di daerah Kluang setiap tahun.
Manakala jamuan dengan menu istimewa turut disediakan untuk 3,000 tetamu bagi memeriahlan majlis yang diadakan sepanjang hari.
Johorkini