KLUANG, 14 FEB: ADUN Mengkibol Chew Chong Sin mengambil inisiatif sendiri dengan mengedarkan sebanyak 3,000 helai iklan dwibahasa mengenai laluan baharu Bas Muafakat Johor (BMJ) selain mempromosi perkhidmatan itu di daerah ini.
Chong Sin dalam satu kenyataan berkata, iklan dwibahasa itu akan diedarkan di kawasan awam seperti Hospital Besar Kluang dan klinik kesihatan agar lebih ramai penduduk mengetahui mengenai perkhidmatan BMJ.
“Laluan perkhidmatan Bas Muafakat Johor telah diperluaskan sejak Februari ini. Kini, terdapat dua laluan bas sekitar bandar Kluang.
“Pejabat ADUN Mengkibol berharap lebih ramai penduduk mengetahui perkembangan terkini dan sering menggunakan perkhidmatan ini,” katanya dalam satu kenyataan.
Baru-baru ini, Chong Sin turut berkesempatan menggunakan perkhidmatan BMJ bagi memahami situasi dan laluan perjalanan bas, serta berinteraksi dengan para penumpang.
Lanjutan itu, beliau turut mencadangkan Perbadanan Pengangkutan Awam Johor (PAJ) agar perkhidmatan BMJ memenuhi keperluan orang ramai selain meningkatkan jumlah penumpang.
Antara cadangan itu termasuklah kekerapan, memendekkan laluan, masa permulaan bas dipinda daripada 10.00 pagi ke 8:30 pagi untuk kemudahan pekerja dan laluan ke SMJK (C) Chong Hwa pada 1:15 petang dan 3:15 petang untuk kemudahan pelajar.
Dalam masa yang sama katanya, laluan BMJ bagi Kluang – Simpang Renggam juga adalah penting.
Ini kerana katanya, semua pejabat kerajaan, organisasi bukan kerajaan (NGO), agensi-agensi, hospital besar dan kompleks beli-belah terletak di bandar Kluang.
“Laluan Kluang-Simpang Renggam amat penting bagi penduduk Simpang Renggam berulang-alik untuk urusan seharian mereka.
“Dengan laluan Bas Muafakat Johor ini diluluskan oleh kerajaan, beban kos pengangkutan golongan yang menaiki bas ini dapat diringankan selain menjimatkan masa untuk pertukaran bas,” katanya lagi.
Johorkini