KLUANG, 31 MEI: Adun Mengkibol, Chew Chong Sin mencadangkan kerajaan mengadakan program pemutihan pekerja asing tanpa izin kerana golongan tersebut akan tampil dan menjalani ujian saringan Covid-19.
Beliau berkata ini memandangkan golongan berkenaan yang berjumlah jutaan ini dibimbangi membawa risiko kemungkinan wujudnya jangkitan penyakit Covid-19.
“Dengan mewajibkan ujian saringan Covid-19 dalam program pemutihan, kita dapat memastikan semua pekerja asing adalah negatif dan sihat, dengan itu kilang-kilang dapat beroperasi semula dan menjalankan perniagaan seperti biasa.
“Kerajaan dapat mengurangkan tekanan kewangan yang timbul dan juga boleh mengurangkan isu kelompok penyakit baharu di kalangan pekerja asing tanpa izin apabila mereka bekerja semula,” kata Chong Sin dalam satu kenyataan.
Pada masa yang sama katanya majikan harus menangggung bayaran levi dan bayaran saringan Covid-19 demi memastikan risiko kesihatan dikawal, dan mengurangkan beban kerja di pihak Kementerian Kesihantan Malaysia melalui program pemutihan secara besar-besaran.
Dengan pembukaan industri dan kebenaran bekerja melalui pemutihan, para majikan tidak berdepan masalah ketidaksepadanan kemahiran semasa kilang-kilang tersebut beroperasi semula selepas tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Katanya, proses mempercepatkan pemulihan ekonomi negara boleh dibuat selepas terjejas akibat rantaian bekalan dunia terputus akibat pelaksanaan kawalan pergerakan di lebih 100 buah negara seluruh dunia semenjak bulan Mac.
Tambah beliau lagi, kerajaan juga boleh melaksanakan kadar “levi pelbagai peringkat” (Multi-tier Levy) selain memastikan sektor pertanian dan perladangan yang merupakan sektor buruh intensif dikecualikan daripada dikenakan levi.
“Yang pentingnya, jangan adakan kadar levi yang terlalu tinggi bagi peringkat keempat yang teratas, supaya tidak wujudkan isu pekerja asing tanpa permit,” katanya.
Beliau memaklumkan telah bertemu bekas Menteri Sumber Manusia, M. Kulasegaran Januari lalu, dan memaklumkan kementerian itu akan membawa isu pemutihan pekerja asing ke dalam mesyuarat kabinet.
Chong Sin turut berharap, usaha pemutihan pekerja asing ini diteruskan kerajaan bagi memberikan hasil bermanfaat dalam usaha pemulihan ekonomi negara.
Johorkini