MUAR, 3 SEPT: Usaha mewujudkan masyarakat berilmu perlu didahului dengan galakan membaca.
Atas kesedaran tersebut, Adun Maharani Norhayati Bachok mengambil inisiatif sendiri dengan menubuhkan perpustakaan mini di pejabat Pusat Khidmat Wakil Rakyat (PKWR) yang dikendalikannya.
Beliau ketika dihubungi berkata, perpustakaan mini itu bertujuan membantu golongan kurang berkemampuan untuk mendapatkan buku-buku berkualiti, selain menyahut kempen ‘Malaysia Membaca’ dan ‘Dekad Membaca Kebangsaan,”
“Saya dapati terdapat keperluan dan permintaan masyarakat setempat untuk mewujudkan perpustakaan ini.
“Tujuannya adalah untuk membantu golongan yang kurang berkemampuan mendapatkan akses percuma kepada bahan rujukan.
“Kita mahu menggalakkan masyarakat khususnya di DUN Maharani menjadi masyarakat berilmu sesuai dengan permintaan global hari ini yang menanamkan sifat cintakan ilmu,” kata Norhayati.
Beliau yang juga Ketua AWAN Negeri Johor berkata, penubuhan perpustakaan mini itu mendapat kerjasama baik dari Perpusatakaan Negara Malaysia (PNM) dan Perbadanan Perpustakaan Awam Johor (PPAJ).
“Selain PNM dan PPAJ, kita juga mendapat kerjasama dari penerbit-penerbit buku serta penyumbang individu untuk bahan bacaan di perpustakaan tersebut,” katanya.
Norhayati memaklumkan, bahan bacaan di perpustakaan mini itu terdiri daripada buku-buku rujukan umum hinggalah rujukan untuk pelajar sekolah.
“Istimewanya perpusatakaan ini, saya cuba fokus lebih banyak kepada bahan bacaan untuk wanita dan kanak-kanak.
“Golongan tersebut harus dibekalkan dengan ilmu bagi memainkan peranan sebagai tonggak masyarakat.
“Dalam agama Islam juga kita diajar untuk membaca dan pihak kami bersungguh bagi memastikan masyarakat di negara ini berilmu,” katanya.
Norhayati memaklumkan, perpustakaan mini itu telah mula beroperasi semenjak 24 Julai lalu dan dibuka dari jam 10 pagi hingga 4 petang.
Gimik perasmian perpustakaan tersebut dijangka akan diadakan selewat-lewatnya Oktober depan.
Johorkini