JOHOR BAHRU, 20 NOV: Masalah tanah mendap yang menjadi kebimbangan penduduk di kawasan Taman Sri Pulai Perdana, Kangkar Pulai Johor berjaya diselesaikan oleh pihak berwajib.
Perkara itu dinyatakan Adun Kota Iskandar, Dzulkefly Ahmad yang sebelum mengajukan perkara itu kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) selepas mendapat aduan dari penduduk.
Ujarnya, punca tanah mendap itu disebabkan paip kumbahan yang pecah sekaligus menghakis bahagian tanah di sekelilingnya.
“Kita telah mendapat aduan dari penduduk berkenaan jalan berlubang serta mendap di kawasan tersebut dan tinjauan pihak kami telah dilakukan.
“Kami mendapati keadaan ini sangat merbahaya dan pada hari yang sama laporan dibuat kepada pihak PBT atau Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) dan pihak mereka maklum akan laporan yang telah kami buat.
“Hasil siasatan MBIP, berlakunya paip kumbahan yang pecah di bawah tanah dan pihak MBIP telah memberitahu pihak Indah Water Konsortium (IWK) supaya menukar paip kumbahan yang pecah itu.
“Beberapa hari lepas pihak IWK telah melakukan kerja penukaran paip kumbahan yang pecah yang menjadi punca utama tanah mendap berkenaan.
“Hari ini dalam tinjauan diadakan pihak kami mendapati kerja-kerja menimbus dan menampal jalan yang berlubang sedang dan telah dilakukan oleh pihak IWK,” ujarnya.
Dalam pada itu, penduduk dalam reaksinya berpuas hati dengan tindakan segera Adun Kota Iskandar tersebut yang prihatin akan kebimbangan penduduk di kawasan tersebut.
Johorkini