BM | EN | 中文

Adun Johor tanya kerajaan negeri, apa jadi dengan santuari gajah di Kota Tinggi?

santuari-gajah-johor-kota-tinggi.jpg

BATU PAHAT,  5 SEPT: Dua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Johor meminta  kerajaan negeri memberi penjelasan mengenai status santuari gajah di Kota Tinggi.

Adun Senggarang, Ir Khairuddin A Rahim berkata, berlaku insiden berulangkali gajah liar mengganggu penduduk di kawasan Mawai dan sekitar Kota Tinggi, namun tidak ada tindakan efektif dilakukan bagi mengatasi masalah tersebut.

Khairuddin A Rahim

Katanya, kerajaan Johor seperti tidak mengambil peduli dengan apa yang berlaku di kawasan yang teruk diganggu mamalia berkenaan.

“Gajah masih berkeliaran di atas jalan raya dan mengganggu pengguna jalan di situ. Langkah yang efektif perlu diambil segera.

“Jangan hanya berdiam diri seperti tidak ada apa yang berlaku. Berapa nyawa lagi yang perlu dikorbankan untuk menyedarkan kerajaan berkenaan peri pentingnya isu yang berlaku di kawasan Kota Tinggi itu.

“Kerajaan hari ini mungkin lebih sibuk menguruskan kedudukan politik mereka berbanding keselamatan penduduk di kawasan itu. Ini adalah suatu perkara yang menyedihkan,” katanya ketika dihubungi.

Baru-baru ini tular video memaparkan seekor gajah mengejar kereta yang menggunakan jalan Mawai-Kota Tinggi.

Dipercayai gajah tersebut bertindak demikian kerana sehari sebelumnya terdapat kes anak gajah mati dilanggar di kawasan tersebut.

Mengulas perkara sama, Adun Perling, Cheo Yee How mempertikaikan isu keselamatan yang dilihat diabaikan tanpa  perhatian utama dari pihak kerajaan.

Beliau turut mempersoalkan status santuari gajah di Kota Tinggi yang dilihat seperti tidak berfungsi untuk mengendalikan permasalahan yang berlaku.

Adun Perling, Cheo Yee How

“Apa fungsi santuari gajah yang dibina oleh kerajaan di Kota Tinggi itu? Langkah segera perlu diambil bagi menyelesaikan permasalahan ini.

“Jika diikutkan gajah liar itu keluar dari kediaman mereka berkemungkinan besar atas faktor tempat tinggal mereka diganggu seperti penebangan hutan yang berleluasa dan sebagainya.

“Kita masih menanti tindakan dari kerajaan dan hasil siasatan dari apa yang berlaku di kawasan yang diganggu itu.

“Kerajaan hari ini seperti tidak langsung peka kepada keadaan yang berlaku,” katanya lagi.

Johorkini

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top