BM | EN | 中文

Adun Johor jangka ramai lelong rumah, kenderaan lepas moratorium tamat

kereta-rumah.jpg

KULAI, 12 SEPT: Seorang ahli dewan undangan negeri (Adun) Johor menjangkakan ramai di kalangan rakyat Malaysia, terutamananya yang bekerja di Singapura bakal melelong rumah, kenderaan mahupun premis kedai mereka selepas tempoh moratorium tamat pada Oktober.

Adun Bukit Batu, Jimmy Puah Wee Tsee berkata, tarikh 30 September ini adalah waktu paling dibimbangi apabila moratorium bank akan luput dan para peminjam dari institusi kewangan perlu mula membayar ansuran mereka.

“Berjuta-juta rakyat Malaysia kena mula tanggung balik bayaran ini.

“Dalam keadaan ekonomi yang kini masih belum pulih dan dimana ramai anak Johor hilang kerja terutamanya mereka yang kerja di Singapura,

“Saya khuatir ramai yang akan menghadapi masa depan yang tidak menentu mulai bulan depan.

“Dijangka ramai akan menghadapi kes lelong rumah, kedai dan kilang bila tiada duit untuk bayar ansuran bank,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Beliau turut menyatakan rasa kesal apabila kerajaan pusat tidak melanjutkan tempoh moratorium bagi sekurang-kurangnya enam bulan lagi.

“Bayangkan berapa ramai orang akan hilang rumah dan kerja apabila syarikat ditutup.

“Ini tentu akan menjejaskan ekonomi dan kesejahteraan masyarakat. Adalah lebih baik jika moratorium ini dilanjutkan enam bulan lagi dan disemak semula bila ekonomi makin pulih.

“Slogan merdeka tahun ini adalah “Malaysia “Prihatin” tapi tidak nampak begitu. Sekurang-kurangnya mesti ada usaha dari negeri untuk bantu mereka,” ujarnya lanjut.

Jimmy turut mencadangkan Johor mencontohi kerajaan Pulau Pinang yang mengadakan program insentif dan pelan Bbayaran pinjaman pasca moratarium bagi membantu individu dan usahawan memohon pinjaman dan penyusunan semula pinjaman.

“Di Pulau Pinang akan ada satu fair pada 30 September dengan kehadiran bank-bank untuk bantu peniaga-peniaga runding bayaran ansuran mereka.

“Usaha seperti ini amat dialu-alukan. Johor pun boleh contohi,” ujarnya lanjut.

Johorkini

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top