SEGAMAT, 7 JUN: Adun Jementah, Tan Chen Choon menyarankan agar lebih banyak lagi klinik swasta di negeri ini melibatkan diri dan mendaftarkan klinik mereka sebagai Pusat Pemberian Vaksin General Practitioner (PPVGP) Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).
Katanya, langkah itu demi mencapai imuniti kelompok dalam di kalangan rakyat Malaysia, dan Johor secara khusus.
“Di Negeri Johor, penglibatan klinik swasta dalam PICK adalah sangat rendah. Dalam 1,030 buah klinik swasta, hanya penglibatan 43 buah klinik swasta atau 4.17 peratus sebagai PPVGP dalam PICK.
“Justeru, saya menyeru agar lebih banyak lagi klinik swasta mendaftar dan terlibat dalam PICK,” kata Tan dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah Tan, jika hanya separuh dari 4,098 klinik swasta di seluruh negara mengambil bahagian dalam PICK dengan setiapnya memberikan sekurang-kurangnya 30 dos vaksin Covid-19 setiap hari, negara mampu memberikan hampir 123,000 dos vaksin Covid-19 sehari.
“Tambah lagi 110,000 dos Vaksin Covid-19 di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) seluruh negara, jumlah dos Vaksin Covid-19 yang diberikan sehari ialah hampir 230,000 dos,” ujarnya.
Katanya lagi, sekiranya lebih banyak klinik swasta berperanan sebagai PPVGP, hospital swasta sebagai PPVHS dan PPV didirikan, dengan bekalan vaksin lebih stabil pada dua bulan mendatang, dijangka negara boleh mencapai imuniti kelompok pada November atau lebih awal.
“Selain daripada itu, saya ingin menegaskan bahawa sekiranya klinik swasta terutamanya di kawasan luar bandar terlibat dalam PICK, ia akan lebih memudahkan penduduk di luar bandar untuk tujuan vaksinasi.
“Khasnya bagi mereka yang mempunyai tahap kesihatan rendah, penduduk yang tinggal berseorangan dan penduduk yang tiada pengangkutan ke PPV,” kata Tan yang sebelum itu membuat lawatan ke PPVGP di Jementah.
Johorkini