SEGAMAT, 29 APR: Adun Jementah, Tan Chen Choon mencadangkan Kerajaan Persekutuan berhenti sementara penggunaan vaksin Covid-19 jenis Astra Zeneca yang menimbulkan persoalan dan keraguan orang ramai berkenaan kesan sampingan dibawa vaksin tersebut.
Kata Tan, kesan sampingan dari penggunaan vaksin Covid-19 Astra Zeneca membimbangkan.
“Menurut liputan media, walaupun European Medicines Agency (EMA) telah mengemaskini senarai kesan sampingan yang ditimbulkan oleh vaksin Covid-19 jenis Astra Zeneca dan mengumumkan ujian klinikal mendapati manfaat kebaikan vaksin tersebut jauh lebih tinggi daripada keburukan serta risikonya.
“Akan tetapi banyak negara di Eropah telah berhenti sementara penggunaan vaksin tersebut termasuklah Thailand.
“Selain itu, Amerika Syarikat dan Afrika Selatan juga belum meluluskan penggunaan vaksin tersebut,” kata Tan dalam satu kenyataan, semalam.
Tambah beliau, disebabkan jenis vaksin Covid-19 ditentukan oleh kerajaan dan rakyat tidak berhak memilih, ramai memberitahunya bahawa mereka tidak akan hadir ke temujanji vaksinasi dalam keadaan ketidaktentuan dan keraguan ini.
“Dengan senario ini, hasrat komuniti kelompok vaksinasi pasti sukar dicapai dan berkemungkinan besar akan dilambatkan.
“Selain itu, dalam keadaan orang ramai masih kurang berkeyakinan terhadap Program Vaksinasi Covid-19 Kebangsaaan ini, sekiranya kerajaan masih memutuskan untuk terus menggunakan vaksin Covid-19 jenis Astra Zeneca, akan timbul keraguan, persoalan dan kebimbangan
“Saya juga ingin menyeru kerajaan mengkaji semula vaksin tersebut sebelum ia digunapakai dalam Program Vaksinasi Covid-19 Kebangsaan,” ujarnya.
Johorkini