KLUANG, 27 JAN: Bagi mengekang penularan Covid-19, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paloh, Sheikh Umar Bagharib Ali mengambil inisiatif sendiri menyediakan semburan sanitasi komuniti di sekitar pekan ini.
Inisiatif murni dengan kerjasama Unit Tindak DAP itu bertujuan bagi memastikan kawasan awam di sekitar DUN Paloh dan kawasan awam bebas daripada pandemik tersebut.
“Syukur. Kami rancang pada asalnya hendak jalankan sanitasi di Sentral Paloh sahaja. Tapi selepas selesai di Sentral Paloh, bahan semburan masih ada.
“Jadi kami teruskan kerja-kerja sanitasi di kawasan Pasar Awam, deretan kedai dan taman-taman permainan di sekitar Pekan Paloh,” kata Sheikh Umar dalam kiriman di laman Facebook beliau pada Sabtu.
Sheikh Umar yang juga bekas Exco Belia dan Sukan berharap, langkah seumpama itu turut diharap mampu membantu usaha semua pihak termasuk petugas barisan hadapan yang giat memerangi peningkatan kes Covid-19 ketika ini.
Tanbah beliau, dengan kerjasama orang ramai, virus ini sukar dibasmi dan justeru itu pematuhan kepada prosedur operasi standard (SOP) mampu mengekang penularan wabak Covid-19.
“Buat keluarga besar Paloh saya, jaga diri semuanya. Kekal mematuhi SOP.
“Mudah-mudahan kita semua selamat daripada virus Covid-19,” ujarnya lagi.
Johorkini