BM | EN | 中文

ADUN Bukit Naning jelajah kampung dapatkan input menjelang sidang DUN

IMG-20200221-WA0014.jpg

Selain mendapatkan input bagi sidang DUN Johor Mac ini, Md Ysahrudin (belakang, kanan) turut menyampaikan bantuan kepada penduduk di kawasannya.

Advertisement

MUAR, 21 FEB: Komunikasi secara bersemuka dan program turun padang bertemu masyarakat merupakan antara cara paling efektif dalam menyampaikan maklumat penting, dasar-dasar serta inisiatif kerajaan Johor kepada masyarakat di peringkat akar umbi.

Selain itu melalui siri-siri pertemuan tersebut, ia juga menjadi medan perkongsian serta mendapatkan maklumat, permasalahan dan isu-isu berkaitan masyarakat akar umbi untuk dibawa kepada pihak berwajib.

Menjelang persidangan DUN Johor pada Mac ini, ADUN Bukit Naning, Md Ysahrudin Kusni mengambil inisiatif menjelajah ke beberapa kampung di kawasannya bagi mendapatkan input daripada rakyat.

Advertisement

“Sebelum sidang Dewan Negeri bermula, saya mengadakan sembang santai bersama-sama masyarakat di DUN Bukit Naning, bersoal jawab dan juga menerangkan inisiatif kerajaan negeri.

“Pertanyaan dari masyarakat akan dibawa ke saluran agensi berkenaan,”katanya dalam satu kenyataan.

Tambahnya, sepanjang minggu ini pihaknya melalui Pusat Khidmat DUN Bukit Naning telah menganjurkan beberapa pertemuan antaranya bersama Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) bagi memberi penerangan mengenai inisiatif kerajaan dan isu semasa kepada rakyat.

Advertisement

Katanya, melalui siri pertemuan itu, pihaknya juga dapat mengadakan penyerahan bantuan seperti kerusi roda kepada golongan Orang Kelainan Upaya (OKU), alatan kesihatan, sistem audio, peralatan kanopi dan bantuan kepada warga emas.

“Melalui pertemuan itu kita turut membincangkan tentang inisiatif pemberian kerajaan negeri seperti Kad Sihat Johor, skim Takaful Warga Emas Negeri Johor (TWENJ) serta peruntukan tahunan DUN.

“Dalam masa yang sama penduduk juga membincangkan mengenai program-program dan perkara berbangkit kawasan DUN dan MPKK selain menyampaikan sumbangan bagi membantu pentadbiran MPKK,”katanya lagi.

Advertisement

Johorkini

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top