KULAI, 20 DIS: Meskipun sibuk dengan tugasan harian, namun ADUN Bukit Batu Jimmy Puah Wee Tse sempat meluangkan masa dan bertemu mangsa banjir di kawasan yang diwakilinya.
Pada program yang berlangsung di balai raya kampung tersebut baru-baru ini, Jimmy turut menyampaikan sumbangan kepada mangsa dari Kampung Melayu Bukit Batu, di sini.
Kesemua penerima bantuan terdiri daripada 34 penghuni rumah yang kediaman mereka terjejas akibat bencana banjir yang berlaku di kawasan tersebut pada 28 Oktober lalu.
“Keseluruhan bantuan yang diberikan berjumlah RM 10,200. Semoga bantuan ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban mangsa,” katanya dalam satu kenyataan.
Dalam perkembangan berkaitan, wakil Yayasan Sejahtera Kulai pada 15 Disember lalu turut membuat lawatan dan menyampaikan bantuan berbentuk barangan dapur kepada mangsa banjir di Kampung Sungai Siam.
Sebanyak 25 buah rumah mangsa banjir yang terlibat telah dipindahkan buat sementara waktu di Surau Sungai Siam.
Bantuan telah disampaikan melalui Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Sejahtera Kulai.
Johorkini