JOHOR BAHRU, 20 NOV : Datuk Adib Azhari Daud dilantik sebagai Datuk Bandar Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) yang ke-12.
Adib, 58, yang merupakan bekas Datuk Bandar Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP), dilantik menjawat jawatan itu bagi menggantikan Datuk Amran A Rahman yang kini menggalas tanggungjawab sebagai Ketua Pegawai Eksekutif YPJ Holdings Sdn Bhd.
Dalam ucapannya selepas mengangkat sumpah sebagai Datuk Bandar Johor Bahru disini, Adib Azhari berkata, langkah pertama yang beliau laksanakan adalah memberi fokus adalah kepada fungsi Kerajaan Tempatan dengan memastikan MBJB memberikan perkhidmatan yang terbaik dalam empat kategori.
“Ini termasuklah dalam penyediaan infrastruktur, penjagaan alam sekitar, pembangunan sosial dan perkhidmatan kepada orang awam,” katanya.
Tambahnya lagi, objektif yang paling penting baginya adalah memberi kepuasan kepada pembayar-pembayar cukai dan seluruh warga bandar raya dengan menawar pelbagai perkhidmatan yang berkualiti.

Adib (duduk, dua, kiri) dan Dr Sahruddin (duduk, tengah) bergambar bersama
“Sebagai Datuk Bandar, saya berhasrat untuk menjadikan warga bandar raya dan pihak berkepentingan (stakeholders) sebagai satu elemen penting di dalam segala perancangan dan pembangunan bandar raya kita ini.
“Dalam kata lain, input-input atau keperluan dan kemahuan penduduk setempat mesti diambil kira dan dinilai terlebih dahulu sebelum kita melaksanakan apa-apa kerja, iaitu dengan mewujudkan amalan turun padang serta sesi townhall,” katanya.
Dalam masa yang sama, beliau turut menyeru semua warga MBJB untuk membuat persiapan selengkapnya dari segi kualiti infrastruktur dan kemudahan awam, kebersihan kawasan persekitaran, pencahayaan, landskap, publisiti dan lain-lain lagi.
Katanya, ini berikutan pada tahun 2020 yang bakal tiba, ia merupakan tahun penuh signifikan buat bandar raya Johor Bahru berikutan Taman Melawat Johor dan Sukma 2020 yang akan berlangsung di negeri ini.
Pemasyhuran Adib sebagai Datuk Bandar diumumkan Johor Menteri Besar, Datuk Dr Sahruddin Jamal dalam Majlis Pelantikan dan Angkat Sumpah Datuk Bandar Johor Bahru Ke-12 di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, di sini, hari ini.
Dr Sahruddin menyerahkan surat pelantikan itu sebelum Adib membaca akuan terima jawatan serta mengangkat sumpah menyimpan rahsia dan ikrar menentang rasuah.
Pada majlis itu, Adib turut disarungkan jubah dan kalung khas serta dipakaikan songkok Datuk Bandar MBJB oleh Dr Sahruddin dan Setiausaha Kerajaan Johor, Datuk Azmi Rohani.
JohorKini