KLUANG, 6 JAN: Ahli parlimen Sembrong, Hishammuddin Hussein berkata Umno perlu mempunyai hala tuju, objektif dan sebab yang jelas dalam sebarang tindakan yang ingin diambil.
Reaksi Hishammuddin itu timbul selepas pendedahan Menteri Wilayah Persekutuan Annuar Musa berhubung perkara yang berlaku di peringkat dalaman Umno dan ahli parlimen parti itu tampil membuat kenyataan mengenai masa depan mereka.
Pertimbangan itu kata Hishammuddin tidak boleh dibuat berdasarkan emosi dan kesan jangka pendek saja.
Hishammuddin seperti dilaporkan Malaysiakini berkata, sebarang keputusan Umno akan menentukan jatuh bangun parti itu serta memberi kesan kepada asas perjuangan mereka, selain kedudukan dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang.
“Jika parti berkeputusan untuk tidak meneruskan kerjasama dengan Bersatu, parti harus putuskan dengan siapa Umno akan bekerjasama menjelang PRU ke-15.
“Adakah dengan DAP? Adakah dengan PKR? Atau bersendirian?” katanya dalam kenyataan tersebut.
Terdahulu sebelum itu Annuar Musa mendakwa Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi memberikan perakuan bertulis kepada Yang di-Pertuan Agong untuk menyokong Presiden PKR Anwar Ibrahim menjadi perdana menteri.
Pendedahan itu dibuat Annuar sehari selepas dia diketepikan daripada jawatan setiausaha agung BN.
Manakala semalam muncul laporan mendakwa Ahmad Zahid mengarahkan semua ahli parlimen Umno yang menyertai kabinet Muhyiddin Yassin agar melepaskan jawatan masing-masing.
Laporan itu bagaimanapun kemudian didakwa berunsur fitnah.
Terdahulu sebelum itu, Annuar Musa mempertikaikan usul-usul dalam mesyuarat bahagian Umno di seluruh negara yang sebahagian besarnya didakwa membuat ketetapan menolak kerjasama dengan Bersatu.
Antara bahagian yang dipetik Annuar berhubung pendirian terhadap Bersatu itu – sama ada memang bersetuju memutuskan kerjasama dengan Bersatu atau sebaliknya – ialah Sembrong.
Hishammuddin merupakan ahli parlimen Sembrong.
Justru itu, kata Hishammuddin jika Umno memutuskan agar semua menteri mereka melepaskan jawatan dalam kerajaan, dia akan mematuhinya.
Untuk rekod Majlis Tertinggi Umno akan bermesyuarat malam ini dan dijangka akan membincangkan perkembangan terkini hubungan parti itu dengan Bersatu.
Johorkini