KUALA LUMPUR, 6 JAN: Ahli parlimen Bagan, Lim Guan Eng membangkitkan persoalan sama ada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan bertindak secara profesional dan bebas dengan menyiasat pembatalan projek kereta api laju (HSR), KL-Singapura.
Kata Lim, SPRM sebelum ini bertindak tepat menyiasat penyalahgunaan kuasa oleh Prasarana dan konflik kepentingan serta pembayaran kepada kontraktor untuk projek LRT3 berikutan pendedahan dalaman kerajaan PN.
“Walaupun siasatan SPRM dimulakan setelah Pengerusi sekarang melancarkan serangan terhadap kerajaan Tan Sri Muhyiddin Yassin, ini adalah langkah yang tepat oleh SPRM kerana begitu banyak dana awam yang terlibat.
“Untuk rekod, harga asal projek LRT3 pada RM31.65 bilion oleh kerajaan BN dikurangkan sebanyak RM15.02 bilion atau 47.5 peratus kepada RM16.63 bilion setelah kajian semula pakar oleh kerajaan PH.
“Persoalannya adakah SPRM akan bertindak secara profesional dan bebas menyiasat pembatalan HSR KL-Singapura kerana kerajaan Malaysia enggan mematuhi proses tender antarabangsa? kata Lim dalam satu kenyataan semalam.
Lim memetik kenyataan Menteri Pengangkutan Singapura Ong Ye Kung bahawa sebab utama kedua negara gagal mencapai persetujuan mengenai projek HSR kerana Malaysia ingin menyingkirkan syarikat aset tender bersama (AssetsCo).
Dalam masa yang sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed tidak mengeluarkan kenyataan bahawa Malaysia akan menggunakan model baru yang masih mematuhi protokol tender antarabangsa.
“Mustapa menyebut bahawa kaedah yang dipersetujui oleh kerajaan BN pada tahun 2016 akan meningkatkan kos dan PN mencadangkan model baru yang akan membantu mengurangkan kos.
“(Namun), tidak ada penjelasan mengenai bagaimana kos dapat dikurangkan,” tambah Lim.
Justeru itu katanya, Mustapa perlu jujur lebih-lebih lagi apabila beliau juga merupakan Menteri Kabinet dalam kerajaan BN pada tahun 2016.
“Mengapakah anggaran kos HSR sekurang-kurangnya RM80 bilion, tidak termasuk pembayaran faedah puluhan bilion ringgit tambahan, dikatakannya mahal sekarang tetapi tidak dahulu?
“Atas sebab ini, SPRM juga mesti memulakan siasatan terhadap pembatalan ini untuk melenyapkan persoalanan rakyat bahawa ia menyiasat tanpa rasa takut atau berat sebelah berdasarkan fakta, dan bukan alat politik untuk kerajaan PN sekarang,” ujar Lim lagi.
Johorkini