BM | EN | 中文

Adakah dasar elaun latihan praktikal diteruskan kerajaan PN? – Syed Saddiq

syed-saddiq-mp-muar.png

KUALA LUMPUR, 5 OGOS: Ahli parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman meminta kerajaan memberi penjelasan sama ada akan meneruskan dasar bagi kadar elaun pelajar yang menjalani latihan praktikal di kementerian, agensi atau jabatan kerajaan.

Syed Saddiq dalam celahannya pada sesi jawab lisan Menteri Sumber Manusia di Dewan Rakyat hari ini membangkitkan perkara itu, berikutan pelaksanaan dasar itu penah diluluskan kerajaan Pakatan Harapan sebelum ini.

“Adakah menteri atau kementerian akan menyokong pindaan prosedur operasi standard (SOP) dalam isu ‘paid internship’ (elaun latihan amali)?

“Kerana kini semua ‘intern’ di dalam sektor kerajaan sama ada kementerian atau agensi wajib dibayar.

“Kedua, pembayarannya akan meningkat daripada anggaran RM300 sebulan kepada RM900 sebulan.

“Ini penting, khususnya bagi ‘intern’ di luar bandar yang perlu melalui latihan amali supaya akhirnya mereka diberikan tempat dalam dunia pekerjaan,” katanya.

Dalam pada itu beliau turut meminta menteri menyatakan isu kenaikan gaji minima dari RM900 ke RM1,200 sebulan dan pelan kenaikan ke RM1,500‬ dalam masa dua hingga tiga tahun.

Menteri Sumber Manusia, Datuk M. Subramiam dalam reaksi segeranya berkata, pihak kementerian akan memberikan jawapan secara bertulis.

Tahun lalu, Syed Saddiq yang ketika itu merupakan Menteri Belia dan Sukan pernah menyatakan komitmen kerajaan meneruskan dasar elaun latihan praktikal di kementerian, agensi atau jabatan kerajaan dan akan dinaikkan daripada RM300 sebulan kepada kira-kira RM900 sebulan.

Dalam kenyataan pada Ogos 2019 Syed Saddiq berkata, perkara itu telah diputuskan kerajaan dalam mesyuarat jawatankuasa khas Kabinet anak muda.

Johorkini

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top